PEMIMPIN dan ketua tentera Myanmar mengadakan pertemuan “keselamatan negara” yang sangat jarang berlaku pada Jumaat untuk membincangkan soal siasatan dalaman mengenai krisis Rohingya di Negeri Rakhine, kata pejabat presiden.
Mesyuarat itu- yang baru ketiga diadakan sejak kerajaan Aung San Suu Kyi memerintah pada 2016- susulan persetujuan membenarkan PBB masuk ke Rakhine untuk menilai masa tepat pelarian Rohingya dibenarkan pulang.
Sejumlah 700,000 pelarian minoriti Islam itu lari ke Bangladesh selepas tentera melancarkan operasi ketenteraan menghapuskan pemberontak Rohingya Ogos lepas yang disifatkan PBB dan Amerika Syarikat sebagai “pembersihan etnik”.
Sebelum perjanjian bersama PBB minggu lepas, Myanmar menangguhkan kepulangan pelarian itu berbulan lamanya kerana enggan membenarkan pihak luar masuk untuk menilai keadaan di negara itu.
Tekanan dunia memuncak apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) akan bertemu pada 20 Jun ini untuk membincangkan sama ada akan melancarkan siasatan ke atas tindakan tentera dan Myanmar ke atas pelarian Rohingya.
Myanmar yang menafikan wujudnya pembersihan etnik menolak tindakan itu, mengatakan mereka bukan ahli Perjanjian Rome yang menubuhkan ICJ.
Negara itu mengatakan mereka akan menubuhkan jawatankuasa sendiri untuk menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi.
Suu Kyi dan Ketua Tentera Min Aung Hlaing adalah antara 15 orang yang hadir ke pertemuan itu di Naypyidaw, kata catatan Facebook Presiden Win Myint.
Mesyuarat itu membincangkan “keselamatan negara dan hubungan antarabangsa termasuk krisis di Rakhine” dan pembentukan “suruhanjaya siasatan” untuk Rakhine.
Kumpulan itu dibentuk serta merta selepas serangan 25 Ogos tahun lepas oleh militan Rohingya yang membunuh sejumlah anggota polis dan mencetuskan tindakan ketenteraan ke atas Rohingya.
Penganalisi mengatakan pertemuan pemimpin kanan kerajaan dan tentera itu boleh membantu menghapuskan perbezaan dalam perjanjian perkongsian kuasa mereka.
Myanmar dan Bangladesh menandatangani perjanjian kepulangan pelarian Rohingya pada November.
Tetapi hanya 1,000 pelarian dibenarkan pulang walaupun masih tiada yang pulang, mendesak jaminan keselamatan, kewarganegaraan dan pampasan kerana kemusnahan kampung dan tanaman mereka.
Kedua-dua negara berdolak dalih siapa sebenarnya yang bertanggungjawab melambat-lambatkan kepulangan pelarian itu.
Envoi baru PBB, Christine Schraner Burgener dijangka melawat Myanmar dalam masa terdekat untuk membincangkan krisis Rohingya. – AFP, 9 Jun, 2018.
Komen