Pelajar Moscow protes Piala Dunia


Bangunan utama Universiti Moscow State berdepan dengan stadium Luzhniki di mana perlawanan pembukaan akan diadakan pada 14 Jun dan juga pertandingan akhir pada 15 Julai. – Gambar AFP, 9 Jun, 2018.

PEMBINAAN zon peminat Piala Dunia di kawasan luar universiti terkemuka Moscow menyebabkan kemarahan dan protes yang jarang berlaku di Rusia.

Ia susulan pelajar bimbang ribuan peminat bola sepak akan memusnahkan satu daripada beberapa kawasan hijau di ibu kota itu.

Sekumpulan pelajar Moscow State University membuat bantahan terhadap Presiden Vladimir Putin yang baru dipilih semula, di mana pentadbirannya tidak menerima perbezaan pendapat dengan baik dan tidak berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kegilaan Piala Dunia selama sebulan itu dalam keadaan terkawal.

Di kawasan itu akan diadakan konsert dan program hiburan untuk menampung sehingga 25,000 peminat, dan layar interaktif gergasi juga akan ditempatkan di situ untuk peminat yang tidak mendapatkan tiket menonton di stadium.

Ia dibina di taman di bawah bangunan utama Universiti Moscow State – salah satu daripada tujuh bangunan pencakar langit Stalinist – yang berdepan dengan stadium Luzhniki di mana perlawanan pembukaan akan diadakan pada 14 Jun dan juga pertandingan akhir pada 15 Julai.

Ramai daripada lebih 6,000 pelajar dan kakitangan universiti itu tidak gembira apabila kampus mereka menjadi zon peminat kerana ia akan menyebabkan gangguan dan kerosakan.

“Kami mulakan bantahan apabila mereka beritahu kami tahun lepas bahawa semester akan dipendekkan kerana zon peminat itu,” kata pelajar PhD, Maria Shekoshkhina, 26.

Katanya, perkhidmatan keselamatan berkata makmal universiti terpaksa ditutup sepanjang tempoh Piala Dunia kerana ia membabitkan bahan radioaktif.

“Terdapat juga risiko yang pelajar terpaksa keluar dari asrama untuk beri laluan kepada pengawal negara, sama seperti bandar Piala Dunia yang lain,” katanya. – AFP, 9 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen