Turki selar tindakan Austria usir imam


Jurucakap presiden Turki, Ibrahim Kalin (kiri) berkata keputusan Austria untuk menutup tujuh masjid dan pengusiran imam dengan alasan yang lemah adalah cerminan gelombang anti Islam, rasis dan diskriminasi. – Gambar AFP, 8 Jun, 2018.

JURUCAKAP Presiden Recep Tayyip Erdogan hari ini mengecam keputusan Austria untuk mengusir 60 imam yang dibiayai Turki serta menutup tujuh masjid, yang disifatkan sebagai tindakan “anti Islam” dan “perkauman”.

“Keputusan Austria untuk menutup tujuh masjid dan pengusiran imam dengan alasan yang lemah adalah cerminan gelombang anti Islam, rasis dan diskriminasi di negara ini,” kata Ibrahim Kalin selepas Vienna mengumumkan langkah itu.

“Ini adalah usaha untuk mensasarkan masyarakat Islam demi politik murahan,” kata Kalin di Twitter.

Menteri Dalam Negeri Austria, Herbert Kickl berkata 150 orang termasuk imam dan keluarga mereka berisiko kehilangan hak menetap di negara itu.

Tindakan ini diambil selepas pihak berkuasa agama Austria menyiasat imej yang diterbitkan pada April mengenai kanak-kanak di dalam sebuah masjid yang dibiaya Turki berpura-pura mati dan melakonkan semula pertempuran Perang Dunia I di Gallipoli.

“Masyarakat selari Islam dari segi politik dan kecenderungan radikal tiada tempat dalam negara kami,” kata Canselor Sebastian Kurz dalam sidang media menggariskan keputusan kerajaan berdasarkan undang-undang itu.

Kalin berpendapat keputusan itu adalah sebahagaian daripada usaha untuk “enormalkan Islamophobia dan perkauman” yang menurutnya mesti ditolak.

Semasa kempen referendum Turki bagi memperluaskan kuasa presiden pada tahun lepas, ketegangan antara Vienna dan Ankara meningkat slepas Austria berkata ia tidak akan membenarkan sebarang acara berkaitan dengan kempen tersebut.

Hubungan Vienna dan Ankara juga ditekan oleh bantahan Kurz terhadap tawaran Turki untuk bergabung dengan Kesatuan Eropah dan program kerajaan yang berjanji Vienna tidak akan bersetuju jika Ankara menyertai blok tersebut. –AFP,8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen