Orang Najib mahu tanding jawatan Umno tanpa guna wang


Radzi Razak

Bekas pegawai khas Najib Razak, Hizatul Isham Abdul Jalil mahu meraih sokongan tanpa menawarkan wang kepada perwakilan.– Gambar Youtube, 8 Jun, 2018

BEKAS pegawai khas Najib Razak, Isham Jalil menawarkan kelainan dalam kempen pemilihan parti kali ini dengan meraih sokongan tanpa membayar wang kepada perwakilan.

Lulusan jurusan kewangan dari Universiti Harvard itu yang akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau percaya perjuangan parti itu akan bersih tanpa mengamalkan politik wang,

“Jika kita bergantung kepada sumber kewangan semata-mata, kita tidak akan mampu tewaskan Pakatan Harapan. Jika kita hanya bergantung kepada wang, parti kita akan lemah.

“Saya hanya tawarkan aset saya iaitu idea, pengetahuan dan semangat juang Umno yang tulen dan ikhlas,” kata beliau dalam satu rakaman video ketika mengumumkan untuk bertanding jawatan itu.

Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil turut sebelum ini berkhidmat selama 10 tahun di Jabatan Perdana Menteri termasuk lima tahun di bawah Najib sebelum kekalahan Barisan Nasional.

Ahli Umno sejak 20 tahun lalu itu juga pernah berkhidmat sebagai presiden NGO Jalinan Sukarelawan Malaysia dan juga disebut-sebut sebagai salah seorang calon menteri besar Selangor BN sebelum ini.

Pemilihan Umno kali ini dimulakan dengan proses pencalonan.

Calon dikehendaki mendaftar secara online atau melalui pejabat Umno bahagian atau menghantar sendiri borang pencalonan ke ibu pejabat di Kuala Lumpur daripada 1 hingga 17 Jun antara 8 pagi hingga 5 petang.

Ibu pejabat Umno akan mempamerkan senarai akhir pencalonan yang layak bertanding selepas tempoh pencalonan ditutup.

Pemilihan jawatan untuk tiga sayap diadakan pada 23 Jun manakala pemilihan peringkat bahagian dan majlis tertinggi pada 30 Jun, serentak di seluruh 191 bahagian Umno di seluruh negara.

Ini adalah kali kedua Umno mengadakan pemilihan langsung selepas pindaan perlembagaan parti pada 2009. Pemilihan sebelum ini adalah pada Oktober 2013. – 8 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen