Waktu pertemuan Abang Johari, PM mencurigakan, kata ahli parlimen


Desmond Davidson

Chong Chieng Jen tidak mengatakan terdapat konspirasi antara kedua-dua ketua menteri dan perdana menteri berhubung kawalan sumber minyak dan gas negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2018

PENGERUSI Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen hari ini mempersoalkan sekiranya kunjungan hormat ketua menteri Abang Johari Openg kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada 31 Mei lalu tiada kaitan dengan tindakan Petronas memfailkan tuntutan di mahkamah persekutuan bagi penentuan Akta Pembangunan Petroleum1974 (PDA) dan ordinan perlombongan Sarawak.

Syarikat minyak negara itu meminta pengisytiharan daripada mahkamah hak eksklusif sumber petroleum di Malaysia termasuk di Sarawak di bawah PDA.

Sementara Chong mempersoalkan mengenai masa kunjungan itu dan permohonan Petronas, beliau tidak mengatakan terdapat konspirasi antara kedua-dua ketua menteri dan perdana menteri berhubung kawalan sumber minyak dan gas negeri. 

“Saya tidak kata terdapat konspirasi, tetapi pertemuan itu terlalu kebetulan,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini. 

“Saya tidak tahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Abang Jo dan Tun M,” katanya merujuk kepada nama samaran popular ketua menteri Sarawak dan perdana menteri. 

“Saya hanya dapati ia terlalu kebetulan. Mereka bertemu, kedua-duanya tersenyum gembira. Abang Jo sangat gembira.

“Sebaik sahaja pertemuan dengan Tun M, kes itu difailkan.”

Chong, yang juga ketua DAP negeri dan ahli Parlimen Stampin, mencadangkan agar Petronas tidak mengambil tindakan itu sendiri. 

Katanya, untuk Petronas memfailkan kes ini, “mereka perlu mendapatkan arahan atau kebenaran daripada perdana menteri”.

Semalam, bekas Adun PKR negeri itu Dominique Ng turut mempersoalkan peranan perdana menteri dalam permohonan Petronas. 

Ng yang juga merupakan pengerusi badan perhubungan PKR negeri, menyelar Dr Mahathir yang mengatakan pada Rabu beliau tidak akan campur tangan dalam hal perundangan. 

“Saya tidak berapa faham (apa yang beliau katakan). Bukankah beliau perdana menteri Malaysia?

“Beliau boleh memberi arahan kepada Petronas,” kata Ng. 

Timbalan Ketua Menteri James Masing berkata: “Apabila Petronas mahu mengambil minyak dan gas kita…Tun M membenarkannya”. – 8 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen