ICRC tarik balik 71 petugas dari Yaman


Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata ancaman dan ugutan telah melumpuhkan kerja-kerja kemanusiaan seperti perkhidmatan rawatan dan pembedahan, lawatan ke atas tahanan selain inisiatif penyediaan air bersih dan bantuan makanan di Yaman. – Gambar EPA, 8 Jun, 2018.

JAWATANKUASA Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menarik balik penempatan 71 kakitangannya di Yaman, susulan beberapa siri ancaman yang diterima di negara yang bergolak itu.

Ancaman dan ugutan telah melumpuhkan kerja-kerja kemanusiaan seperti perkhidmatan rawatan dan pembedahan, lawatan ke atas tahanan selain inisiatif penyediaan air bersih dan bantuan makanan.

Selain itu, ICRC turut berdepan sekatan aktiviti, ancaman secara langsung sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan lebih membimbangkan terdapatnya percubaan untuk menjadikan pertubuhan itu terheret sama dalam kancah konflik.

“Kami berharap semua pihak bertanggungjawab melindungi keselamatan kakitangan kami,” kata ICRC dalam satu kenyataan di Geneva hari ini.

ICRC berkata meskipun sebelum ini, wakilnya di Yaman telah menerima pelbagai ancaman, namun pihaknya tidak boleh terus membiarkan mereka berdepan risiko selepas seorang petugasnya dibunuh.

“Kami tidak boleh bertolak-ansur dengan pihak terlibat dengan konflik yang  menakut-nakutkan kakitangan ICRC,” tambahnya.

ICRC mendesak semua pihak yang terbabit dengan konflik itu memberikan jaminan keselamatan supaya petugas pertubuhan itu boleh terus berada di Yaman.

Meskipun ICRC berharap untuk terus membantu meringankan penderitaan penduduk terjejas, namun perlu ada persetujuan daripada semua pihak untuk memberikan jaminan keselamatan yang kukuh. 

Selama ini, ICRC telah membantu mangsa konflik di Sanaa, Aden, Taiz, Saada dan Hodeida.

Bantuan diberikan adalah berdasarkan prinsip berkecuali dan adil dengan menumpukan kepada keperluan sebenar semua mangsa. ICRC telah berada di Yaman sejak tahun 1962. – Bernama, 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen