PENGENDALI lebuh raya tol Indonesia, PT Jasa Marga menjangkakan lebih 1.4 juta kenderaan meninggalkan Jakarta menggunakan jalan bertol, sempena Aidilfitri bermula hujung minggu ini.
Jumlah itu meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding tahun lepas.
Aidilfitri dijangka disambut pada 15 dan 16 Jun.
“Sejumlah 1.442 juta kenderaan akan keluar dari Jakarta dalam tempoh lapan hari hingga sehari sebelum Aidilfitri,” kata pengarah operasinya Muhammad Sofyan pada Rabu memetik laporan kompas.com.
Beliau berkata, lebih separuh atau kurang 772,549 kenderaan menggunakan laluan Jakarta-Cikampek melalui pintu masuk tol Cikarang Utama di Bekasi, Jawa Barat, peningkatan sebanyak 2.86 peratus daripada 751,100 kenderaan tahun lepas.
Sementara itu, 253,858 kenderaan dijangka melalui jalan tol Jagorawi iaitu peningkatan sebanyak 10.5 peratus daripada 230,455 pada tahun lepas.
Kesesakan lalu lintas dijangka bermula Sabtu. – Bernama, 8 Jun, 2018.
Komen