Mesir dapat semula 9 artifak yang diseludup ke Perancis 


Kurator musium di Mesir menjalankan kerja pembaikpulihan artifak sebelum dipamerkan kepada umum.– Gambar EPA, 8 Jun, 2018.

PIHAK berkuasa Mesir pada Khamis berkata mereka telah mendapat semula sembilan artifak yang diseludup ke Perancis, lapor agensi berita China Xinhua.

Kenyataan Kementerian Antikuiti negara itu menyebut artifak terbabit terdiri daripada lima unit keranda, dua patung kucing, satu unit ukiran kepala manusia yang diperbuat daripada basalt (batu berwarna kehitam-hitaman yang terbentuk daripada lelehan gunung berapi) dan seunit topeng firaun yang diperbuat daripada kayu.

‘’Kesemua artifak akan disimpan di Muzium Mesir sehingga ia sesuai untuk dipamerkan selepas kerja-kerja pemulihan,” menurut kementerian itu.

Peninggalan budaya itu telah diserahkan kepada Kedutaan Mesir di Paris pada 2017 selepas seorang hakim Perancis membuat keputusan muktamad dalam satu kes penyeludupan pada 2016.

Pihak berkuasa Perancis telah merampas artifak itu dari sebuah kereta api di Paris yang menuju ke England pada 2012, kata kementerian tersebut.

Perancis dan Mesir telah bekerjasama untuk menghentikan penyeludupan barangan antik. 

Pada November 2014, Perancis telah bersetuju untuk memulangkan sejumlah 239 artifak kepada Mesir. – Bernama, 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen