RANCANGAN Thailand untuk membeli satelit keselamatan bernilai berbilion bhat menerima kritikan rakyatnya yang bimbang kerajaan diterajui tentera itu akan menggunakan kapasiti ruang udara yang baharu untuk mengintip mereka.
Antara pengkritik yang paling lantang menentang rancangan pembelian itu ialah Setiausaha Agung Persatuan Perlindungan Perlembagaan Thailand Srisuwan Janya yang menggesa kerajaan supaya membatalkan rancangan pembelian itu.
Beliau mendakwa satelit buatan Amerika Syarikat itu adalah ‘satelit pengintip’ berikutan kemampuannya untuk merekodkan 86,000 imej beresolusi tinggi sepanjang 24 jam setiap hari, yang menimbulkan isu ancaman privasi dalami kalangan 66 juta penduduk Thailand.
“Penggunaan satelit ini akan melanggar beberapa artikel dalam Piagam (Perlembagaan) terutamanya mengenai hak privasi rakyat,” katanya dalam laporan media tempatan, sambil menegaskan bahawa wang untuk pembelian satelit itu sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.
Srisuwan berkata pemerolehan satelit yang dikenali sebagai ‘THEIA Satellites’ itu dari sebuah syarikat Amerika Syarikat yang tidak dikenali, THEIA Group, akan menyebabkan kerajaan menanggung kos kira-kira 91.2 bilion baht (RM11.4 bilion), yang boleh meningkatkan hutang keseluruhan kerajaan.
Sejak beberapa hari lepas, media tempatan melaporkan bahawa satelit ‘THEIA’ akan mempunyai rangkaian kira-kira 112 satelit yang melingkari Orbit Bumi Rendah (LEO) dengan kamera berteknologi tingginya mampu menembusi awan, kegelapan, dedaunan dan permukaan bumi.
Dilaporkan bahawa rangkaian satelit THEIA akan memulakan operasinya selama 15 tahun mulai 2023.
Kerajaan menyangkal dakwaan Srisuwan mengenai satelit pengintip itu dengan menyatakan beliau membuat andaian terlalu awal kerana perkara itu masih dibincangkan kerajaan dan keputusan meneruskan projek itu akan mengambil kira bajet dan persetujuan orang ramai.
Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha yang cuba mengurangkan kebimbangan orang ramai tentang satelit itu dengan berkata bahawa cadangan tersebut belum pun dibawa ke Kabinet.
“Sekiranya ia belum dibawa ke Kabinet, ia tidak mungkin berlaku,” kata perdana menteri itu yang dipetik oleh media tempatan, sambil memberitahu bahawa senarai ‘pertimbangan’ yang panjang perlu diambil kira terlebih dahulu termasuk implikasi undang-undang sebelum perkara itu dibincangkan Kabinet.
Dewan Perundangan Nasional (NLA), katanya, akan membincangkan perkara itu.
Timbalan Perdana Menteri Jeneral Prawit Wongsuwan, yang mendakwa satelit itu adalah ‘satelit keselamatan’ dan bukannya seperti yang didakwa pengkritik, berkata Thailand telah dijemput oleh Amerika Syarikat untuk mengambil bahagian dalam program satelit itu, yang sedang dikaji negara itu.
Jika Thailand menolak jemputan itu, beliau mendakwa Washington akan mencari ‘pelabur bersama’ yang lain untuk menggantinya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri ACM Prajin Juntong pula mengarahkan Kementerian Kehakiman untuk mengkaji dakwaan Srisuwan tentang satelit itu dan memfailkan aduan.
Walaupun kerajaan telah memberi penjelasan berhubung isu itu, namun ia terus menerima bantahan pembangkang yang juga mahukan kerajaan supaya mengekang perbelanjaan untuk sektor pertahanannya termasuk kereta kebal, kapal selam dan sistem senjata lain terutamanya dari China. – Bernama, 8 Jun, 2018.
Komen