3 orang awam terbunuh dalam serangan udara di Libya 


Serangan AS ke atas sebuah kampung di (bandar) Bani Walid telah menyebabkan tiga orang awam terbunuh.– Gambar EPA, 8 Jun, 2018.

SATU serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan pengganas Daesh di Libya telah meragut nyawa tiga orang awam, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Yayasan Libya bagi Hak Asasi Manusia pada Khamis.

“Serangan AS ke atas sebuah kampung di (bandar) Bani Walid telah menyebabkan tiga orang awam terbunuh, dan mereka tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas. Ketika kejadian, kesemua mangsa menaiki sebuah kereta tanpa membawa sebarang senjata dan tidak diberikan sebarang amaran,” menurut kenyataan itu.

Yayasan itu berkata kesemua mangsa berada bersama-sama sasaran, Abdal’ati Eshtewi Abu-Setta, bagi tujuan sosial dan saudara-mara mereka telah mengesahkan bahawa mereka tidak mengambil bahagian dalam sebarang tindakan pengganas serta tidak pernah mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa keselamatan.

Abu-Setta dilaporkan adalah seorang daripada pemimpin terkemuka Daesh di Libya yang dikehendaki oleh pihak berkuasa tempatan dan AS.

Yayasan itu juga menyatakan bahawa keluarga mangsa telah meminta agar satu siasatan dilakukan dan mendakwa kerajaan Libya yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pentadbiran AS bertanggungjawab atas kematian mereka.

Sementara itu, Pusat Pemerintah AS di Afrika (AFRICOM) pada Rabu mendakwa serangan itu telah menyasar dan membunuh empat pengganas Daesh, termasuk seorang pemimpin kanan, di pinggir Bani Walid, kira-kira 180 kilometer di tenggara ibu negara Tripoli. – Bernama, 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen