Keganasan di Mozambique tiada kaitan dengan Islam


Kemunculan kumpulan pengganas adalah disebabkan faktor kewangan dan bukan kerana faham fundamentalisme Islam, kata Pengerusi Masyarakat Islam Mozambique, Imam Abdul Rashid. – Gambar EPA, 8 Jun, 2018.

AJARAN Islam tiada kaitan dengan tindakan keganasan yang berlaku di wilayah Cabo Delgado utara Mozambique, kata Pengerusi Masyarakat Islam Mozambique, Imam Abdul Rashid.

Dalam temu bual dengan stesen televisyen bebas, STV, di Maputo pada Khamis, Rashid berkata: “Saya tidak percaya orang Islam terlibat dalam hal itu”.

“Apabila saya katakan ‘Muslim’, ia merujuk kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam sebenar, kerana mungkin ada orang mengelar diri mereka Muslim, tetapi tidak mengamalkannya. Itu hal peribadi mereka. 

“Kita boleh kenali orang Islam khususnya di Cabo Delgado. Kami mempunyai aktiviti di sana dan  tidak terlibat dengan semua kegiatan keganasan,” katanya.

Menurutnya, keganasan itu dilakukan oleh pihak luar dan menggunakan mereka yang kurang pegangan agamanya untuk terlibat sama. 

Rashid berkata kemunculan kumpulan pengganas adalah disebabkan faktor kewangan dan bukan kerana faham fundamentalisme Islam.

“Ada banyak kekayaan di tanah Cabo Delgado dan itu mesti menjadi antara punca. Idea mereka adalah dengan mewujudkan kekeliruan untuk mengeksploitasikan kekayaan yang ada.

“Keadaan itu menyebabkan kerajaan terganggu, lantas menuduh orang Islam sedangkan mereka tidak ada kena mengena dengan keganasan,” tambahnya. – Bernama, 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen