Hsien Yang pertahan kesahihan wasiat akhir bapanya


Kediaman bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew di Oxley Road yang menjadi pertikaian anak-anaknya. – Gambar AFP, 17 Jun, 2017.

LEE Hsien Yang, anak bongsu mendiang pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, hari ini mendakwa ayahnya memberi “arahan segera” bagi wasiat terakhirnya susulan wasiat yang pertama, di mana bekas perdana menteri itu memberikan arahan agar rumahnya dirobohkan selepas beliau meninggal dunia.

Wasiat  dan kandungannya, terutama mengenai nasib rumah Lee, menjadi faktor persengketaan antara ketiga-tiga anak-anaknya.

“Wasiat akhir ayah saya pada Disember 2013 adalah semakan kepada wasiat 2011 berdasarkan kepada arahan segeranya” kata Hsien Yang dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook beliau.

“Hasrat perobohan dalam wasiat 2011 beliau diberitahu selepas mesyuarat Lee Kuan Yew dengan Kabinet,” kata kenyataan itu.

Anak sulung yang juga Perdana Menteri Singapura, Hsien Loong, mengeluarkan suatu akuan berkanun pada Khamis di mana beliau menimbulkan keraguan serius sama ada bapanya dimaklumkan dengan cara yang betul dan bebas daripada sebarang pengaruh mengenai kandungan wasiat terakhirnya sebelum menandatanganinya.

Mengikut Akta Wasiat Singapura, seseorang itu hanya boleh mencabar wasiat dalam masa enam bulan selepas ia diprobetkan.

Bagaimanapun, wasiat Lee diprobet pada 6 Oktober 2015, peguam kanan memberitahu Straits Times dan ia masih boleh dicabar jika terdapat bukti baru dan alasan khas untuk itu.

“Jika selepas enam bulan, anda perlu memberi alasan khas dan ia adalah pada budi bicara mahkamah,” kata Dr G. Raman, seorang peguam probet veteran.

Akuan berkanun Hsien Loong kepada jawatankuasa peringkat menteri ditugaskan untuk melihat pilihan bagi rumah Lee di 38, Oxley Road adalah sebagai respons kepada kenyataan enam muka surat yang dibuat adik-adiknya adik-beradik pada Selasa yang menuduhnya menyalahgunakan “kedudukan dan pengaruhnya ke atas kerajaan Singapura bagi agenda peribadinya”.

Adiknya Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling juga menuduh beliau cuba mengambil kesempatan daripada warisan Lee dengan gagal mematuhi hasrat bapa mereka untuk merobohkan rumah di Oxley Road seperti yang dinyatakan dalam wasiatnya. 

Sebagai tindak balas, Hsien Loong memersoalkan kesahihan wasiat itu kerana mengikut apa yang beliau dakwa adalah konflik kepentingan kerana isteri Hsien Yang, Lee Suet Fern, mempunyai peranan dalam merangka wasiat.

Suet Fern, merupakan rakan kongsi firma undang-undang yang menyediakan wasiat terakhir Lee, yang mengumumkan semalam meletak jawatan sebagai rakan kongsi pengurusan firma Morgan Lewis Stamford bagi pejabat di Singapura.

Hsien Loong berkata sebab mengapa beliau tidak menyuarakan sebarang kemusykilan mengenai sebelum ini kerana ingin menyelesaikan perkara itu di antara keluarga sahaja. – 17 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen