Rusia tiada hasrat undur tentera dari Syria


RUSIA tidak berhasrat mengundurkan tenteranya dari Syria dalam waktu terdekat, namun akan melakukannya secepat mungkin jika keadaan memerlukan, kata Presiden Vladimir Putin pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.

“Tenteranya akan berada di sana selagi ia memberi manfaat kepada Rusia dan sebagai memenuhi kewajipan antarabangsa,” katanya semasa sesi soal jawab rancangan “Direct Line” yang disiarkan televisyen tempatan.

Putin berkata penglibatan Rusia dalam memerangi pengganas di Syria adalah “misi penting dan murni” yang bertujuan mempertahankan kepentingan Rusia dan rakyatnya.

Menurutnya, ribuan pengganas berasal dari Rusia dan negara Asia Tengah berada di Syria.

“Lebih baik meneutralkan mereka di Syria daripada menunggu sehingga mereka kembali ke Rusia,’’ katanya.

Di bawah perjanjian dengan pemerintah Syria, Rusia mengekalkan dua kem tenteranya di Tartus dan Hmeymim.

“Sekiranya perlu, kami akan menarik balik anggota tentera tanpa sebarang kos,” katanya.

Rusia mula menyertai operasi anti-pengganas di Syria pada September 2015 atas undangan Presiden Syria Bashar al-Assad.

Pada Disember 2017, tentera Syria dengan sokongan askar Rusia berjaya memusnahkan kumpulan militan Daesh dan susulan itu Putin mengarahkan sebahagian tenteranya dipanggil pulang. – Bernama, 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen