ARGENTINA memperoleh pinjaman sebanyak AS$50 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kata Menteri Kewangan Nicolas Dujovne pada Khamis.
“Kami bersetuju kepada suatu pinjaman tunggu sedia… sebanyak AS$50 bilion,” kata Dujovne pada sidang akhbar sambil menambah “ia menunjukkan sokongan yang kita ada dalam kalangan komuniti antarabangsa, dan itu merupakan berita yang amat baik.”
Pembiayaan itu akan dapat diakses pada 20 Jun, apabila perjanjian antara kedua-dua pihak menjadi rasmi.
Pembayaran “segera” pertama ialah sebanyak AS$15 bilion, atau 30% daripada jumlah keseluruhan pinjaman, katanya.
Kerajaan Argentina berunding dengan agensi pemberi pinjaman antarabangsa itu untuk mengurangkan penurunan nilai mata wang di negara tersebut sejak beberapa minggu lepas.
Bagaimanapun, rundingan itu mencetuskan bantahan dalam kalangan rakyat Argentina yang bimbang perjanjian tersebut akan membawa kepada langkah-langkah penjimatan yang keras. – Bernama, 8 Jun, 2018.
Komen