Saya akan ke mahkamah 29 Jun, kata Ting Pek Khiing


Pemaju Ting Pek Khiing berkata beliau akan hadir ke mahkamah pada 29 Jun dan waran tangkap yang dikeluarkan itu hanya bertujuan untuk memalukannya.

TING Pek Khiing berkata beliau akan hadir ke mahkamah pada 29 Jun selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengeluarkan waran tangkap selepas ahli perniagaan itu gagal ke mahkamah untuk pendengaran siasatan awamnya.

Mahkamah mengarahkan polis menangkap Ting, yang diisytiharkan muflis pada 2010, dan membawanya ke mahkamah pada 29 Jun.

“Saya akan ke sana. Saya belum lihat notis itu (waran tangkap) tetapi saya nampak di akhbar. Jika saya tidak ada di sana mereka boleh tangkap saya,” katanya pada sidang akhbar ringkas di Kuching pagi ini.

Menurut The Edge Financial Daily, arahan menghadiri pendengaran siasatan awam itu juga dikeluarkan terhadap isteri Ting, Wong Sui Choo.

Ting menyifatkan ketidakhadirannya itu sebagai “perkara kecil” dan mendakwa waran tangkap itu dilakukan oleh “sesetengah individu yang mahu memalukan saya” dan cemburu dengan rancangannya untuk pembinaan Projek Bandar Baru Langkawi bernilai RM30 bilion.

Ting berkata beliau sibuk dengan projek itu yang dimulakan sejak 25 tahun lalu, sehingga gagal menghadiri sidang mahkamah pada 7 Jun lalu.

Katanya, beliau juga menghantar surat ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjelaskan kenapa tidak dapat hadir ke mahkamah.

“Orang hanya mahu malukan saya. Saya bukan pembunuh, bukan penjenayah. Saya beritahu yang saya akan datang hari lain (selain 7 Jun).

“Saya bukan melarikan diri daripada pemiutang.”

Ekran Bhd milik Ting adalah pemaju di sebalik pembinaan empangan kontroversi Bakun 1994. Bagaimanapun, krisis kewangan Asia pada 1997 menyebabkan kerajaan membatalkan projek itu dan membayar ganti rugi kepada Ekran.

Ting baru-baru ini kembali menjadi perhatian apabila beliau mengumumkan projek bernilai RM30 bilion di Langkawi selepas projek penambakan di Dubai.

Dilaporkan Ting yang turut terbabit dalam projek pencakar langit Plaza Rakyat pada 1990-an diisytiharkan muflis sejak 1991 sementara dua lagi arahan muflis difailkan terhadapnya pada 2012.

Menurut The Edge Financial Daily, Ting masih belum dibebaskan daripada muflis oleh ketua pengarah insolvensi dan hutang Ting kepada pemiutang mencecah RM390 juta. – 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen