PERINTAH darurat di Turki, yang dikenakan sejak kegagalan cubaan rampasan kuasa dua tahun lalu, mungkin ditarik balik selepas pilihan raya bulan ini, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Khamis.
Pemimpin Turki, yang berdepan lawan sengit bagi pemilihan presiden dan legislatif pada 24 Jun, sebelum ini menegaskan perintah darurat tidak akan ditarik balik sehingga ancaman “pengganas” dihapuskan sepenuhnya dari negara ini.
“Selepas pilihan raya, kami akan membincangkan keadaan darurat dengan terperinci dan mungkin terdapat persoalan untuk menarik balik,” kata Erdogan semasa siaran wawancara televisyen lewat Khamis.
Mahkamah Turki setakat ini menjatuhkan hukuman penjara kepada lebih 2,000 suspek berhubung rampasan kuasa pada 2016 yang bertujuan menjatuhkan Erdogan, kata seorang menteri kerajaan bulan ini.
Ribuan orang termasuk askar, pegawai polis dan hakim ditangkap dalam tindakan besar-besaran sejak cubaan memberontak itu.
Puluhan ribu orang juga digantung atau dipecat daripada sektor awam termasuk guru, pegawai polis dan hakim di bawah dekri yang dikenakan di bawah perintah darurat.
Pembangkang menuduh Erdogan menggunakan perintah darurat untuk mendiamkan pengkritik.
Erdogan, yang menguasai politik Turki sejak 2003 sebagai perdana menteri dan kini menjadi presiden, dijangka memperoleh mandat kedua bagi jawatan presiden bulan ini dengan kuasa yang diperkasakan sebagaimana dipersetujui dalam referendum tahun lepas.
Tetapi para penganalisis mengatakan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang memerintah boleh kehilangan majoriti keseluruhannya kepada satu pakatan pembangkang. – AFP, 8 Jun, 2018.
Komen