Hishammuddin putus tidak tanding pemilihan Umno


Mohd Farhan Darwis

Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein membuat keputusan tidak bertanding dalam pemilihan parti kali ini bagi memberi peluang kepada individu lain untuk memimpin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2018. 

NAIB Presiden Umno Hishammuddin Hussein memutuskan tidak bertanding mana-mana jawatan dalam parti itu dalam pemilihannya kali ini, sebaliknya mahu memberi perhatian kepada usaha menguatkan Umno di Johor.

Katanya, beliau membuat keputusan itu kerana inilah masa yang sesuai untuk Umno melakukan perubahan dalam kepimpinan parti.

“Saya dapati ramai yang menawarkan diri untuk bertanding demi membawa Umno ke hadapan dan saya percaya mereka harus diberikan peluang untuk memimpin.

“Justeru, saya membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi apa-apa jawatan di peringkat pusat bagi sesi pemilihan kali ini. Sebaliknya saya akan bekerja lebih keras untuk membantu membangunkan semula Umno bermula dari Johor,” katanya, dalam satu sidang media di Johor, hari ini.

Keputusan itu juga katanya sudah dimaklumkan kepada Ahmad Zahid Hamidi selaku pemangku presiden dan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Mohamed Khaled Nordin.

“Mereka faham dan menghormati keputusan itu,” kata Hishammuddin, yang juga ahli Parlimen Sembrong.

Beliau turut menyatakan berikrar untuk tetap setia bersama Umno sehingga ke akhir hayat dan akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada barisan kepemimpinan baharu yang bakal dipilih ahli pada 30 Jun ini.

Hishammuddin juga berkata beliau sedar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) memerlukan Umno beroperasi secara luar biasa.

“Saya turut mengambil tanggungjawab dan akauntibiliti atas kekalahan itu. Dalam masa kita menerima keputusan PRU14, Umno kini berada pada peringkat pemilihan parti.

“Masa amat sesuai untuk Umno mengambil kesempatan melakukan perubahan dengan mencorakkan kepemimpinannya,” katanya. – 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen