Naratif baru Umno dalam buku teks sejarah


PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 melakar sebuah sejarah tumbangnya ‘gergasi’ politik yang telah memegang tampuk kekuasaan lebih dari separuh abad.

Sesungguhnya ia adalah satu keputusan yang sangat sukar dijangka. Tidak ramai daripada golongan sains sosial yang dapat memberikan satu ramalan yang ampuh kerana kebanyakan ramalan menyatakan rejim Barisan Nasional (BN) akan menang.

Implikasi PRU14 tersebut merangkumi pelbagai jenis perspektif yang melibatkan ilmu disiplin seperti sains politik, sosiologi, ekonomi, psikologi, perundangan, sejarah, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Implikasi itu juga memberi satu isyarat bahawa tesis authoritarian itu dilihat tidak sesuai apabila lahirnya “Malaysia Baru”.

Permasalahan yang ingin dibangkitkan di dalam penulisan ini adalah untuk menilai secara kritikal dan untuk mewujudkan satu naratif baru untuk Umno demi untuk menyelaraskan posisi parti tersebut di dalam kerangka buku teks sejarah di sekolah.

Sudah menjadi satu kebiasaan yang hakiki bagi setiap pengkaji sains sosial, terutama sekali golongan ahli akademik, untuk merekodkan segala jenis fenomena sosio-politik yang berlaku dalam bentuk penulisan. Ini satu kelaziman yang tidak boleh dielak.

Tetapi, sejauh manakah perhatian yang diberikan terhadap isi kandungan buku teks sejarah di sekolah? Adakah kandungan yang sedia ada ini tidak akan diubah untuk satu tempoh masa yang agak lama?

Dan jikalau ia diubah sekalipun, bagaimana pihak editor ataupun ilmuwan yang terbabit akan memposisikan Umno dalam buku teks tersebut?

Pernah dahulu disebutkan “sejarah ditulis oleh si pemenang”. Apa yang akan berlaku jika “pemenang” itu sudah berada di pihak yang “kalah”?

Dalam konteks “Malaysia Baru”, bagaimana pula kedudukan Umno ini boleh direalisasikan melalui objektif pensejarahan itu?

Jika Umno pada ketika dahulu diangkat tinggi melangit kerana usaha mereka untuk menuntut kemerdekaan dan diberikan satu pengiktirafan yang tidak berbelah bahagi dalam apa jua penulisan sejarah.

Bagaimana pula Umno pada waktu kini yang ditolak oleh majoriti rakyat pada PRU14, apabila ia tidak lagi dianggap sebagai salah satu alternatif politik yang selesa apabila dikalahkan oleh “sistem” itu sendiri.

Bukanlah ingin menidakkan sumbangan yang pernah diberikan tetapi dalam disiplin sejarah, tidak terlintas untuk mewujudkan nilai-nilai kompromi sesuatu sisi yang tidak mengikuti selera arus semasa.

Adakah satu naratif baru perlu diwujudkan dalam buku teks sejarah di sekolah demi untuk memastikan generasi akan datang dapat menilai dengan lebih kritikal tentang peralihan kuasa yang berlaku pada PRU14?

Adakah naratif baru tersebut akan mengambil kira faktor-faktor kejatuhan Umno seperti isu-isu korupsi, ketirisan, sistem percukaian, skandal 1Malaysia Development Berhad, etnik politik, isu tadbir urus dan sebagainya?

Ternyata ini satu tugas yang amat berat bagi rejim baru untuk memastikan kelangsungan dan objektif pensejarahan itu dapat dicapai.

Seterusnya, bagaimanakah corak penulisan rejim baru berkenaan posisi Umno itu dapat dimuatkan dalam buku teks sejarah dan pada masa yang sama dapat mengekalkan objektif pemurnian penulisan itu dan mengelak dari terpalit dengan pengadilan moral.

Sesungguhnya 9 Mei 2018 adalah satu sejarah awam yang perlu diketahui oleh generasi akan datang. Bagaimana generasi tersebut akan berinteraksi dengan implikasi 9 Mei 2018 itu, bergantung kepada corak penulisan rejim baru ini. – 8 Jun, 2018.

* Dr. Ariff Aizuddin Azlan adalah seorang penganalisis politik tempatan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen