Operasi menyelamat di gunung berapi Guatemala terhenti akibat tanah runtuh


Setakat ini, 99 orang diketahui maut akibat letusan gunung berapi Fuego di Guatemala pada Ahad lalu, dengan hampir 200 lagi dilaporkan masih hilang. – Gambar AFP, 8 Jun, 2018.

ANCAMAN tanah runtuh baru menyebabkan pekerja keselamatan kecemasan terpaksa menghentikan operasi mencari mangsa letusan besar gunung berapi Fuego di Guatemala, kata agensi pengurusan bencana negara.

Bahan gunung berapi yang masih panas dan ramalan hujan lebat akan menyebabkan risiko keselamatan kepada pekerja kecemasan, kata jurucakap agensi itu David de Leon.

Setakat ini, 99 orang diketahui maut akibat letusan pada Ahad lalu, dengan hampir 200 lagi dilaporkan masih hilang.

“Kita tidak patut memandang rendah skala bencana ini,” kata Ketua Palang Merah Antarabangsa Francesco Rocca yang melawat kawasan itu.

“Keperluan kecemasan kritikal masih sangat diperlukan, dan masyarakat terbabit akan memerlukan sokongan berkekalan dan jangka panjang,” kata Rocca, menambah ahli keluarga terjejas mungkin mengambil masa setahun untuk pulih.

“Mereka ini hilang segala-galanya – rumah, kehidupan dan juga orang tersayang.”

White House berkata AS akan menghantar bantuan kecemasan daripada segi makanan, air, keperluan sanitasi kepada mereka yang terbabit.

Pesawat tentera Amerika juga sudah mula mengangkut mangsa yang terbakar ke tempat rawatan khas AS, kata tentera udara AS.

Mexico juga mengumumkan menghantar sepasukan pakar untuk mangsa terbakar sementara Chile akn menghantar peralatan bagi menyediakan amaran awal letusan gunung berapi.

Sepasukan doktor Cuba yang menetap di Guatemala menyediakan sokongan di tempat perlindungan untuk mangsa yang hilang tempat tinggal. – AFP, 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen