Senat Kanada lulus undang-undang ganja rekreasi


SENAT Kanada pada Khamis meluluskan undang-undang membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi, bakal menjadi anggota pertama G7 yang menghalalkan pengeluaran, penjualan dan penggunaan dadah.

Rang Undang-Undang C-45, atau Akta Cannabis, diluluskan Senat dengan 52 undi, 30 menentang dan satu berkecuali selepas berbulan berdebat mengenai kesan pengesahannya.

Akta Cannabis kini akan kembali ke Dewan Rakyat, yang meluluskan rang undang-undang pada November 2017 tetapi perlu menandatangani perubahan yang dibuat oleh Senat.

Mengiktiraf tumbuhan itu adalah janji kempen 2015 Perdana Menteri Justin Trudeau.

Tempoh sebenar untuk penjualan mengikut undang-undang bermula pada 1 Julai, hari kebangsaan Kanada, tetapi ia berkemungkinan dianjak pada Ogos atau September.

Ia kemudian terpulang kepada wilayah di Kanada untuk menubuhkan rangkaian pengedaran dan penguatkuasaan.

Jualan ganja sebagai ubat dibenarkan di Kanada sejak 2001.

Rang Undang-Undang C-45 akan membenarkan individu berusia lebih 18 tahun memiliki sehingga 30 gram ganja untuk kegunaan peribadi.

Jualan kepada sesiapa di bawah umur 18 akan diharamkan di bawah undang-undang persekutuan tetapi wilayah boleh menetapkan had umur mereka sendiri.

Statistik Kanada menganggarkan pasaran akan bernilai AS$4.5 bilion, berdasarkan data penggunaan tahun lepas.

Uruguay meluluskan penggunaan ganja secara sosial lima tahun lalu termasuk sembilan negeri di AS tetapi Kanada akan menjadi negara G7 yang pertama untuk melakukannya. – AFP, 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen