Dr Mahathir tidak tolak Raja-Raja Melayu, tapi mahu jaga rakyat jangan marah


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah berniat untuk menolak institusi diraja berhubung segala tindakannya terhadap Raja-Raja Melayu sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2018.

DR Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah berniat untuk menolak institusi diraja berhubung segala tindakannya terhadap Raja-Raja Melayu sebelum ini, sebaliknya hanyalah mahu menjaga rakyat daripada marah sehingga memberontak, lapor Sinar Harian.

Dr Mahathir yang dua kali jadi perdana menteri itu turut merujuk kepada tindakannya mengemukakan pindaan undang-undang bagi menubuhkan Mahkamah Khas Raja-Raja pada 1993 dulu.

“Kita kena jaga, raja janganlah terlibat dengan benda-benda yang rakyat tidak suka. Rakyat tiada kuasa, tetapi bila dia dah marah, dia akan memberontak. Jangan jadi macam ini,” katanya, dalam wawancara dengan akhbar itu.

Perdana menteri berusia 92 tahun itu berkata demikian apabila mengulas mengenai langkahnya memelihara hubungan baik antara institusi diraja, pentadbir negara dan rakyat.

“Jadi kita kena elak raja dengan kebesarannya itu supaya tidak tercemar. Saya bukan menolak raja-raja tetapi saya berpendapat bahawa kalau raja buat sesuatu yang salah, patutlah kita ambil tindakan iaitu menyelamatkan raja.

“Macam kita ada undang-undang yang kita gubal sehingga tertubuhnya mahkamah khusus untuk raja-raja,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Mahkamah Khas Raja-Raja ditubuhkan dan berkuatkuasa pada 30 Mac, 1993 selepas Parlimen meminda Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kekebalan Raja-Raja Melayu.

Beliau turut mengulas mengenai kelewatannya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di mana katanya, perkara itu tidak seharusnya terjadi kerana undang-undang perlu dipatuhi.

Katanya, begitu juga dengan isu pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas, untuk menggantikan bekas peguam negara terdahulu Mohamed Apandi Ali.

Dr Mahathir berkta majoriti daripada raja-raja tidak bersetuju dengan kelewatan pelantikan tersebut sehingga ada yang bertemu dengannya untuk mencapai penyelesaian secepat mungkin.

“Perkara macam itu tidak harus berlaku. Kita ada undang-undang. Kita ada perlembagaan. Kita kena akur kepada undang-undang. Kita nak kembali kepada ‘the rule of law’. Apabila sesuatu yang berlaku tidak mengikut undang-undang, maka akan menimbulkan kemarahan.

“Tetapi saya fikir raja-raja sedar kerana ramai raja-raja yang berusaha supaya mereka semua dan Agong patuh kepada undang-undang.

“Sebenarnya majoriti raja-raja tidak bersetuju kalau dilewat-lewatkan pelantikan itu. Ada yang datang jumpa saya, ada yang cuba meredakan keadaan, termasuk kelewatan saya angkat sumpah dan juga soal pelantikan peguam negara. Dan ini sudah diselesaikan atas nasihat raja-raja sendiri,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Dr Mahathir mengemukakan nama Thomas namun tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang dikatakan meminta beberapa nama lain dicadangkan kepada baginda.

Bagaimanapun perdana menteri menegaskan hanya satu nama sahaja yang dimajukan oleh Putrajaya.

Berikutan itu, Majlis Raja-Raja sepatutnya mengadakan sidang tergempar bagi mencari penyelesaian tentang isu tersebut, namun ia selesai sebelum mesyuarat itu.

Thomas, seorang peguam kanan dan pakar perlembagaan, juga mendapat reaksi negatif dari segelintir pihak yang merasakan beliau tidak sesuai memegang jawatan itu atas alasan bukan Melayu dan bukan beragama Islam. – 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tun M sememang nya tahu apa yang beliau buat..semua untuk kebaikkan raja2 dan rakyat..terima kasih Tun M kerana menjaga kebajikan kami semua..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan