Jack Ma ke Malaysia untuk pastikan projek impian terlaksana


Pengasas Alibaba, Jack Ma akan ke Kuala Lumpur hujung bulan ini untuk bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan projek perdananya, Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ). – Gambar AFP, 8 Jun, 2018.

JUTAWAN dan pengasas Alibaba, Jack Ma akan ke Kuala Lumpur hujung bulan ini untuk bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menyelamatkan projek perdananya, Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Ma bercadang mahu berjumpa Dr Mahathir dua minggu lalu tetapi perdana menteri terlalu sibuk sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Perjumpaan itu nampaknya akan diadakan selepas Dr Mahathir pulang dari lawaannya ke Jepun bulan ini.

Perdana menteri akan menghadiri Persidangan Nikkei dari 10 hingga 12 Jun.

Perjumpaan itu dibantu oleh seorang ahli perniagaan tempatan atas permintaan Ma.

Zon Perdagangan Bebas Digital, yang pertama di luar China, sepatutnya meletakkan Malaysia sebagai hab e-dagang serantau di Asia Tenggara.

Pelancarannya dirasmikan oleh Ma di Kuala Lumpur pada November tahun lalu.

Mendapat sokongan pentadbiran Najib Razak, DFTZ menyasarkan untuk mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan di Malaysia dan memudahkan perdagangan bernilai AS$65 bilion (RM258 bilion) menjelang 2025.

Ia turut menyasarkan untuk menggandakan kadar pertumbuhan eksport perusahaan kecil dan sederhana kepada AS$38 bilion (RM151 bilion) menjelang 2025.

Kerajaan Pakatan Harapan kini mengkaji semula kesemua projek China-Malaysia termasuk East Coast Rail Link (ECRL), Bandar Malaysia dan Malaysia-China Kuantan Industrial Park. .

Ada juga cakap-cakap yang timbul mengenai kontrak dan skim pembayaran yang mencurigakan.

Setakat ini tiada masalah yang dibangkitkan mengenai DFTZ dan Jack Ma mahu ia kekal begitu.

Alibaba memiliki laman web beli-belah China popular, iaitu Taobao dan Lazada yang merupakan platform e-dagang terbesar di Asia Tenggara. – 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen