Sri Lanka cadang kuatkuasa undang-undang cegah pengaturan perlawanan


Sebuah dokumentari Al Jazeera mendedahkan berlaku rasuah global dalam sukan kriket. – Gambar EPA, 7 Jun, 2018.

SRI Lanka akan menguatkuasakan undang-undang lebih ketat dan mewujudkan unit polis khas untuk menangani aktiviti mengatur perlawanan selepas sebuah dokumentari mendedahkan berlaku rasuah global dalam sukan kriket, kata menteri sukan hari ini.

Faiszer Musthapha berkata undang-undang sedia ada tidak cukup untuk menangani aktiviti mengatur perlawanan serta lain-lain bentuk penipuan yang didedahkan dalam dokumentari Al Jazeera.

Menteri itu berkata Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) telah menasihatkannya supaya menggubal undang-undang bagi menentang amalan itu selepas tiga pegawai Sri Lanka dirakam bersetuju untuk mengatur perlawanan.

Lembaga kriket Sri Lanka sudah menggantung tiga pegawainya - dua jurulatih dan seorang kurator stadium antarabangsa - selepas mereka ditangkap melalui penyamaran Al Jazeera.

Ia juga telah membuat aduan kepada polis yang melancarkan siasatan jenayah.

“Cricket’s Match-Fixers” yang disiarkan pada 27 Mei lalu, menyebut pemain England dan Australia juga terlibat dalam pengaturan perlawanan di India.

Kapten pasukan England, Joe Root dan kapten pasukan Australia, Tim Paine menolak tuduhan berkenaan. – AFP, 7 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen