Facebok senarai hitam sami dan kumpulan pelampau Buddha


Facebook mengharamkan pergerakan nasionalis Buddha Ma Ba Tha daripada platformnya, serta sepasang rahib terkemuka yang terkenal dengan kebencian terhadap Rohingya. – Gambar EPA, 7 Jun, 2018.

FACEBOOK menyenaraihitamkan sekumpulan pelampau Buddha Myanmar, termasuk para sami yang terkenal dengan ucapan kebencian terhadap orang Islam Rohingya, kata syarikat itu hari ini, ketika ia cuba menangani kandungan bersifat hasutan.

Syarikat media sosial itu memainkan peranan luar biasa di negara yang baru-baru ini aktif secara dalam talian dan menawarkan 18 juta akaun di kalangan penduduknya yang berjumlah sekitar 50 juta orang.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan Facebook seolah-olah muncul sebagai “binatang” di negara ini dan ucapan benci dan hasutan terhadap keganasan kepada etnik Rohingya berleluasa di laman sesawang.

Sebanyak 700,000 Rohingya melarikan diri daripada tindakan kekerasan tentera di Myanmar ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu - selepas bertahun-tahun peningkatan keganasan dan kemarahan terhadap minoriti, dengan menggunakan platform Facebook.

Sebagai tindak balas, Facebook minggu ini menghantar pengawai paling kanannya ke Myanmar.

Ia mengharamkan pergerakan nasionalis Buddha Ma Ba Tha daripada platformnya, serta sepasang rahib terkemuka yang terkenal dengan kebencian terhadap Rohingya.

“Mereka tidak dibenarkan muncul di Facebook, dan kami akan mengeluarkan sebarang akaun dan kandungan yang menyokong, memuji atau mewakili individu atau organisasi ini,” kata Pengurus Polisi Kandungan, David Caragliano.

Sami yang melampau Parmaukkha dan Thuseitta disekat bersama U Wirathu, setelah ia diharamkan pada Januari.

Aktivis mengkritik platform kerana lambat bertindak terhadap laporan posting yang berniat jahat, dengan beberapa kandungan dikongsi oleh pengguna selama lebih 48 jam sebelum ia dikeluarkan.

Contohnya termasuk gesaan membunuh seorang wartawan Islam dan posting pada September lalu yang mengatakan penganut Buddha dan Islam sedang bersiap sedia berbalas serangan.

Para aktivis bertindak memberikan “flag” berulang kali kepada Facebook tetapi ia mengambil masa beberapa hari untuk ia bertindak. – AFP, 7 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen