Peguam Jho Low jawab SPRM


Muzliza Mustafa

PASUKAN peguam Low Taek Jho atau Jho Low hari ini menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui e-mel selepas dimaklumkan anak guam mereka akan disoal siasat.

“E-mel itu dihantar kepada kami petang tadi. Ia dihantar oleh firma guaman antarabangsa Jho Low, Kobre & Kim. Dalam e-mel tersebut beliau telah mengarahkan peguamnya menghubungi kami,” kata sumber SPRM kepada The Malaysian Insight.

Belum dapat dipastikan apakah maklum balas SPRM terhadap e-mel itu atau jika suruhanjaya itu akan menjawab.

Jho Low pada 2015 juga mengarahkan peguamnya menghubungi pihak berkuasa melalui cara yang sama dan berjanji akan memberi kerjasama penuh apabila SPRM meminta kerjasamanya.

Namun, janji itu hanya tinggal janji.

Awal hari ini, SPRM mengeluarkan notis baharu, mencari dua individu penting yang boleh membantu mereka dalam siasatan ke atas SRC International.

Individu penting itu ialah Low dan bekas pengarah urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Menjawab pengumuman itu, peguam Low mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Melalui laporan media bertarikh 7 Jun 2018 (hari ini), Encik Low maklum bahawa SPRM meminta bantuannya.

“Susulan ini, Encik Low telah segera mengarahkan peguamnya untuk menghubungi SPRM hari ini untuk menawarkan bantuan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Low dikenali sebagai orang kepercayaan dan penasihat perniagaan bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib kini disiasat atas dakwaan bahawa bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, digunakan untuk menyalurkan dana pelaburan negara itu ke dalam akaun peribadinya.

Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) menuduh Low menjadi dalang dalam skandal 1MDB.

Walaupun tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam 1MDB, Low dikatakan antara penerima dana yang digunakan untuk membeli aset mewah termasuk kapal layar, lukisan dan barang kemas.

Sehingga kini kedudukan Low tidak dapat dipastikan. – 7 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen