Masjid liberal dibuka di Berlin


Lelaki dan wanita yang mendakwa beragama Islam diri bersebelahan ketika solat Jumaat, julung kali diadakan di Masjid Ibn Rushd-Goethe di Berlin semalam. – Gambar AFP, 17 Jun, 2017.

DENGAN misi untuk menyebarkan Islam dalam bentuk liberal, sebuah masjid di mana lelaki dan wanita boleh solat bersebelahan dibuka di Berlin, disertakan sekali dengan imam wanita.

“Allahu Akbar” bergema dalam Masjid Ibn-Rushd-Goethe yang sesak semalam apabila Ani Zonneveld, wanita Malaysia yang kini berada di Amerika Syarikat, dan juga antara beberapa imam wanita, melaungkan azan.

Kemudian salah seorang pengasas rumah ibadat itu, seorang peguam dan aktivis hak asasi wanita Seyran Ates, memulakan acara dengan ucapan aluan di depan tetamu Kristian dan Yahudi serta segerombolan wakil media.

“Kami mahu memberi isyarat menentang keganasan Islam dan salah guna agama kami,” kata Ates, yang berasal dari Turki.

“Kami mahu mengamalkan agama kami bersama,” katanya.

Ates – yang dikenali mendesak untuk “revolusi seksual” dalam dunia Islam – dan berjanji yang ultra konservatif “tidak boleh merompak hak saya sebagai Muslim”.

Melutut di atas permaidani hijau, lelaki dan wanita bersebelahan – sujud ke arah kiblat mengikut imam yang bercakap dalam bahasa Jerman.

Sesetengah wanita memakai telekung atau tutup kepala, sementara yang lain tidak memakainya.

Masjid baharu itu, terletak di tingkat tiga bangunan Protestant Johanniskirche (Gereja St. John).

Semua umat Islam – Sunni atau Syiah, Alawi atau Sufi – dialu-alukan ke masjid itu yang dinamakan sempena seorang penulis Jerman yang hebat iaitu Johann Wolfgang von Goethe dan sarjana Islam kurun ke-12 Ibn Rushd, juga dikenali sebagai Averroes.

Tujuh pengasas masjid itu berkata mereka mahu membuka dewan solat untuk semua golongan termasuk gay dan lesbian.

“Masjid ini membenarkan Muslim mengenal diri dalam cara baharu,” kata pengasas bersama dan sarjana Islam Jerman Abdel-Hakim Ourghi.

Mereka berkata setakat ini tidak menerima ancaman atau cacian, tetapi mereka menjangkakan tidak semua orang akan suka kepada masjid itu.

Jerman yang mempunyai kira-kira empat juta umat Islam menjadi sasaran serangan pengganas, dengan paling teruk pada Disember lalu apabila sebuah trak merempuh ke pasar Krismas di Berlin dan membunuh 12 orang. – AFP, 17 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen