.jpg)
TRANSISI politik telah berlaku – suatu yang tidak siapa pun dapat bayangkan akan berlaku hatta pada pagi hari mengundi.
Rakyat Malaysia melakarkan bukan hanya sejarah negara, bahkan sejarah dunia. Ini adalah perubahan kerajaan yang pertama di negara ini sejak merdeka, 61 tahun lalu.
Mudanya tidak ada barang seorang pun rakyat negara ini punya pengalaman ditadbir oleh kerajaan lain di peringkat persekutuan, selain Barisan Nasional (BN) dan kolonial. Lebih mengujakan ini ialah antara perubahan rejim yang paling aman dan lancar dalam sejarah negara dunia ketiga!
Maka tidak hairanlah sebahagian kita masih dalam euforia merayakan detik bersejarah ini sehingga ada yang mendakwa sensasinya sama seperti negara ini baru sahaja mencapai kemerdekaan.
Ya, anak cucu kita pasti akan bertanya akan pengalaman kita menempuh detik perubahan itu – sebagaimana kita menagih kisah detik kemerdekaan daripada datuk dan nenek kita.
Namun, harus juga kita insafi yang perubahan ini bukan semata-mata kerana keyakinan dan keimanan rakyat terhadap manifesto dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) tetapi juga sarat dengan kekecewaan serta kemarahan terhadap kerajaan Najib Razak – undi protes.
Wajib juga kita renungkan yang undi popular PH hanya 43%, ertinya majoriti pengundi di negara ini tidak mendukung aspirasi PH. Lebih merisaukan – dan mendukacitakan – apabila garis perkauman masih jelas dalam pola pengundian ini.
Ya, walau apapun, kenyataan ini tidak dapat menafikan fakta kerajaan yang dibentuk sekarang sah dan berhak memerintah. Akan tetapi, saranannya agar lebih cermat dan berhati-hati agar tidak terlihat terlalu keras dan mendesak.
Saranan ini tidak lain kerana terlalu banyak yang dituntut daripada rakyat, khasnya orang Melayu di negara ini – yang rata-ratanya masih skeptik dengan dasar kerajaan PH.
Bayangkan lebih 60 tahun mereka dimomokkan oleh Umno – dan pada satu ketika oleh Dr Mahathir Mohamad sendiri! – betapa negara ini kelak akan jatuh kepada Cina yang akan merobek kemuliaan agama dan institusi raja di negara ini.
Pastinya ini hanya propaganda Umno yang tidak berasas dan jahat. Maka, propaganda yang masih lekat berkarat ini harus dikikis dan dibasuh dahulu kerana jika tidak mereka akan lihat segala yang sedang dilakukan oleh PH hanya membuktikan kebenaran pembohongan Umno ini.
Mula-mula PH umumkan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan – setelah puluhan tahun jawatan paling kanan ini dipegang oleh orang Melayu.
Kemudian diumumkan juga pemberhentian kerja ribuan kakitangan awam (rakyat di bawah bukan semuanya faham lantikan politik itu apa) termasuklah JKKK dan juga ketua kampung yang rata-ratanya Melayu.
Sejurus selepas itu, pecah pula berita adanya tuntutan untuk membuka UiTM kepada bukan Melayu. Tidak lama kemudian, dikhabarkan pula Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dikaji semula fungsi dan peranannya.
Baru-baru ini, mula terdengar cadangan untuk meletakkan bukan Islam (dan pastinya bukan Melayu) sebagai peguam negara. Semua ini berlaku kurang daripada 30 hari!
Ya, kita harus gunakan analisa yang lebih canggih dengan melihat kemampuan dan merit, bukan lagi analisa perkauman kerana sebelum ini “beri kepada Melayu rosak juga”.
Namun, jangan kita sendiri terjerat dalam hujah perkauman apabila seolah-olah membayangkan tidak ada Melayu yang kompeten untuk jawatan ini.
Lebih utama daripada polemik itu ialah kita sedang memberikan sebanyak mungkin peluru kepada pembangkang – yang menguasai majoriti undi Melayu kini – ketika mana kita belum mempersiapkan orang Melayu untuk perubahan ini. Kini PAS dan Umno mula membayangkan Jakim akan dibubarkan.
Malah kenyataan yang dibuat oleh A. Kadir Jasin, ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, untuk mengkaji institusi beraja di negara ini hanya mengukuhkan lagi tuduhan oleh pembangkang bahawa kerajaan kini mula menurut kehendak DAP!
Ya, ya..kita tahu ini bodoh, tapi propaganda ini bukan dibuat untuk saudara dan saudari yang terbuka fikirannya.
Saranan agar tidak tergesa-gesa ini bukan tidak berasas, professor politik yang merupakan pakar kajian pilihan raya Malaysia, Prof. William Case juga turut bersetuju.
Beliau bahkan mengambil rujukan bekas presiden Filipina Corazon Aquino dalam isu dasar pembaharuan tanah yang diperkenalkan lewat 1980-an bagi mengagihkan tanah pertanian yang sebelum itu dimonopoli elit pemerintah di bawah pemerintahan Ferdinand Marcos – yang akhirnya gagal mencapai matlamat pembaharuannya.
Tidak bermakna kita harus diam dan tidak melakukan apa-apa. Cuma utamakan dahulu kesejahteraan ekonomi rakyat. Hal ini yang paling mendesak.
Bahkan apabila PH berjaya memulihkan kembali ekonomi dan mensejahterakan rakyat yang pastinya memanfaatkan orang melayu juga akhirnya, kita akan mendapat kembali keyakinan mereka.
Pada masa yang sama jika ini tidak dilakukan dahulu, takut-takut kita akan dituduh pula oleh Umno-PAS sebagai cuba mengalihkan perhatian rakyat dari daripada kegagalan menguruskan ekonomi.
Penting juga untuk dipertimbangkan agar melihat institusi yang ingin “dibubar, dikaji atau apa sekalipun istilahnya” mampu berperanan dalam melancarkan peralihan ini.
Ya, kita telah melalui peralihan politik, ini bahagian yang mudah. Kini kita bercakap tentang peralihan pemikiran.
Kita harus memulakan pembentukan nasionalisme Melayu yang lebih berjiwa besar dan berani tanpa perlu berdiri atas sentimen ketakutan. – 7 Jun, 2018.
* Shahrul Naim Hamzah adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen