PM Jordan janji adakan dialog undang-undang cukai pendapatan


Ribuan rakyat Jordan memprotes bagi membantah undang-undang cukai pendapatan dan polisi ekonomi kerajaan. – Gambar EPA, 7 Jun, 2018.

KERAJAAN Jordan berjanji memulakan satu dialog komprehensif dengan semua pihak yang terlibat berhubung undang-undang cukai pendapatan ketika bantahan terhadap rang undang-undang itu berterusan, lapor agensi berita China Xinhua.

Perdana Menteri Omar Razzaz menciap beliau akan bekerjasama dengan semua pihak untuk menggubal satu undang-undang percukaian yang adil untuk semua dan berharap ia dapat membantu memastikan pembangunan serta memberikan gambaran yang positif kepada rakyat Jordan.

‘’Hubungan antara kerajaan dan rakyat adalah berdasarkan satu struktur yang jelas, dan semua pihak mempunyai tugas serta tanggungjawab masing-masing,’’ katanya.

Sumber rasmi memaklumkan Xinhua pada Rabu yang Razzaz akan mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen dan wakil persatuan profesional.

Mereka bersumpah untuk meneruskan bantahan meskipun selepas Razzaz dilantik menggantikan Hani Mulki sebagai perdana menteri.

Pada lewat Rabu, ribuan rakyat Jordan berhimpun berhampiran ibu pejabat perdana menteri untuk hari yang ketujuh bagi membantah undang-undang itu dan polisi ekonomi kerajaan.

Penunjuk perasaan berkata mereka akan meneruskan bantahan sehingga undang-undang itu ditarik balik, dan menuntut satu perubahan dari segi polisi dan bukan individu.

Rang undang-undang kontroversi itu, yang merupakan sebahagian daripada siri pembaharuan di bawah satu perjanjian antara Jordan dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), memfokus kepada tiga aspek: menambah baik kutipan cukai, membanteras pengelakan cukai dan meningkatkan hasil cukai, yang dijangka meningkat sebanyak 300 juta dinar (AS$423 juta) setiap tahun.

Undang-Undang yang dicadangkan itu bertujuan meningkatkan ratio pembayar cukai pendapatan daripada 4.5% ketika ini kepada 10%.

Ia ditentang hebat oleh persatuan profesional, pelabur dan segmen lain dalam masyarakat. – Bernama, 7 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen