JUTAWAN Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low akan menghubungi penyiasat Malaysia berhubung kes melibatkan SRC International yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata jurucakapnya.
Jho Low memberi jaminan itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengeluarkan notis agar beliau tampil membantu siasatan.
“Melalui laporan media bertarikh 7 Jun 2018 (hari ini), Low difahamkan bahawa SPRM meminta bantuan beliau.
“Susulan itu, Low dengan segera mengarahkan peguamnya untuk menghubungi SPRM hari ini berhubung penyaluran bantuan tersebut,” kenyataan itu dipetik.
Jho Low pada 2015 turut memberi jaminan sama kepada SPRM untuk membantu siasatan, namun tidak muncul untuk disoal siasat.
SRC merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012.
Nik Faisal merupakan bekas pengarah dan ketua pegawai eksekutif SRC ketika syarikat itu ditubuhkan pada 2011.
Low pula diketahui menjadi orang kepercayaan dan penasihat perniagaan bekas perdana menteri Najib Razak.
Jabatan Kehakiman AS mendakwa beliau bertanggungjawab merancang skandal 1MDB, yang menyebabkan dana berbilion ringgit digelapkan dari syarikat pelaburan tersebut.
Walaupun tidak menjawat sebarang jawatan rasmi, Low didakwa sebagai antara penerima dana 1MDB yang digunakan membeli hartanah dan aset, termasuk kapal layar mewah, lukisan dan barang kemas.
Beliau tidak dapat dikesan untuk sekian lama namun baru-baru ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan dapat menentukan secara kasar untuk kedudukan ahli perniagaan tersebut. – 7 Jun, 2018.
Komen