KDN nilai semula larangan buku ‘Sapuman, Man of Steal’


Radzi Razak

Kerajaan akan menilai semula larangan terhadap buku kartunis Zunar bertajuk Sapuman, Man of Steal yang mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2018.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa kerajaan akan menilai semula larangan diwartakan terhadap buku kartunis Zunar bertajuk “Sapuman, Man of Steal” yang mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurut peguam Zunar, N Surendran, peguam kerajaan hari ini memaklumkan kepada Hakim Azizah Nawawi mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Azizah seterusnya menangguhkan pendengaran permohonan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar ul-Haque untuk mencabar larangan KDN terhadap karya yang diharamkan pada Oktober 2017 itu.

Zunar memfailkan cabaran pada Januari lalu ke atas keputusan larangan buku “Sapuman, Man of Steal” yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dan menamakan menteri dalam negeri sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Beliau menuntut mahkamah mengisytiharkan bahawa perintah pengharaman buku itu adalah batal dan tidak sah kerana ultra vires kepada peruntukan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 serta memungkiri Perkara 5 (Kebebasan Individu), Perkara 8 (hak kesamarataan) dan Perkara 10 (1) (a) dalam Perlembagaan Persekutuan untuk kebebasan bersuara.

Kerajaan Malaysia diwakili peguam kanan persekutuan Muzilah Mohd Arshad.

Sementara itu, Zunar ketika ditemui hari ini turut menuntut agar kerajaan Pakatan Harapan baru dapat menunaikan janji untuk menarik akta zalim seperti PPPA ini dengan segera.

“Mungkin kerajaan baru ini lebih baik dari dulu, tapi selagi ada undang-undang itu di sini, ia boleh digunakan, mungkin bukan oleh kerajaan sekarang, tapi kerajaan selepas ini. Jadi PPPA patut jadi antara undang-undang pertama yang dimansuhkan.”

Sementara itu, Surendran turut menuntut bekas peguam negara Abdul Gani Patail membuat kenyataan menjelaskan alasan menggunakan kuasa sebagai pendakwa raya meluluskan sembilan pertuduhan terhadap kartunis itu.

Selain itu, Gani juga meluluskan banyak lagi pertuduhan terutamanya dalam kes hasutan kepada pemimpin pembangkang ketika itu, kata Surendran.

“Pada 2014 dan sebelum itu, ketika Gani berkhidmat sebagai AG, banyak ahli politik pembangkang dituduh dengan akta zalim ini.

“Gani harus jelaskan kenapa beliau berbuat begitu atau beri arahan sedemikian,” katanya yang turut berdepan dengan pertuduhan Akta Hasutan selepas memberi komen perbicaraan kes ketua Umum PKR Anwar Ibrahim pada 2014. – 7 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen