Polis siasat A Kadir Jasin kes tulisan mengenai perbelanjaan Agong


Muzliza Mustafa

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun ketika melancarkan Ops Selamat di Pusat Konvensyen TM hari ini.– Gambar The Malaysian Insigt oleh Nazir Sufari, 7 Jun, 2018

POLIS mengesahkan Ketua Unit Media Majlis Penasihat Kerajaan, A Kadir Jasin disiasat berhubung tulisan di blognya berhubung peruntukan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara Fuzi Harun berkata, siasatan dijalankan berhubung dakwaan ugutan jenayah, hasutan dan juga mengikut kesalahan melanggar akta komunikasi.

Katanya, pasukannya menerima tiga laporan ke atas wartawan veteran itu.

“Kami menerima tiga (laporan) setakat ini dari Selangor dan Kelantan dan kertas siasatan sudahpun dibuka ke atas kes ini,” kata Fuzi.

Siasatan itu berhubung tulisan di blognya dalam bahasa Inggeris bertajuk “Constitution: The King and the Pauper” yang disiarkan pada Isnin lalu.

A Kadir antara lain mendakwa, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM256.9 bilion kepada Yang di-Pertuan Agong untuk 16 bulan sehingga April tahun ini.

Menurutnya, dana itu antara lainnya diperuntukkan untuk kemudahan, penyelenggaraan kediaman dan istana, barangan peribadi, pesawat dan pengangkutan, latihan dan peralatan pengiring, pakaian dan barangan upacara, hadiah dan cenderamata, lawatan luar negara dan gaji kakitangan istana.

Bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times itu bagaimanapun tidak menyatakan sumber maklumat berhubung perbelanjaan istana.

Menurut Perbendaharaan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setahun untuk Agong.

Kadir hari ini memberi maklum balas terhadap beberapa pihak yang berang dengan artikel di blognya yang menyentuh perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong, berkata beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya untuk ‘menyerang’ raja-raja Melayu. 

Beliau berkata mereka yang mengkritiknya perlu membaca semula tulisan asal berhubung perkara itu.

“Saya serahkan kepada para pembaca dan pembahas mengadili saya berdasarkan kritikan Anwar itu dengan membaca balik dan memahami hujah saya mengenai hal berkenaan,” katanya. 

Tambahnya, tulisan asalnya itu bertajuk “Masukkan Institusi Raja Dalam Reformasi”  yang disiarkan Sinar Harian pada 27 Mei manakala tulisan kedua disiarkan pada 4 Jun diblognya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kadir berkata pengkritik bebas untuk pertikai dan berikan fakta yang betul.

Dalam tulisan di blognya, A Kadir antara lain menyatakan kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM256.9 bilion kepada Yang di-Pertuan Agong untuk 16 bulan sehingga April tahun ini.

Kadir bagaimanapun tidak menyatakan sumber maklumat berhubung perbelanjaan istana.

Menurut Perbendaharaan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setahun untuk Agong. – 7 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen