PEREKA fesyen Kate Spade, yang membunuh diri di New York baru-baru ini, mendapatkan rawatan kerana kemurungan, tekanan perasaan dan keresahan selama lima tahun, kata suaminya, Andy Spade.
“Dia secara aktif mendapatkan bantuan untuk merawat kemurungan dan rasa cemas yang dialaminya sejak lima tahun lalu, sering berjumpa doktor dan mengambil ubat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menolak dakwaan adik kepada pereka itu bahawa Kate memerlukan penjagaan kesihatan mental tetapi enggan mendapatkan rawatan kerana takut menjejaskan jenama itu.
Kate, anak kelahiran Missouri bekerja sebagai wartawan dan editor perhiasan di majalah Mademoiselle sebelum melancarkan label fesyen Kate Spade pada 1993 bersama suaminya dengan bantuan pelabur luar.
Penggunaan warna terang dan bercorak dalam rekaannya mendapat tempat di hati wanita berkerjaya. Lebih sedekad lalu, beliau menjual perniagaan itu dan kemudian melancarkan Frances Valentine, jenama untuk fesyen lebih mewah.
Laman web selebriti TMZ memetik sumber polis sebagai berkata Kate menjadi murung sejak beberapa minggu lalu selepas suaminya meninggalkannya dan meminta cerai.
Andy berkata mereka sudah tinggal berasingan tetapi dalam kawasan yang sama, dan bersama-sama menjaga anak perempuan mereka, Bea, 13.
“Anak menjadi keutamaan kami. Kami tidak berpisah secara rasmi dan tidak pernah berbincang tentang perceraian. Kami kawan baik yang cuba menyelesaikan masalah dengan cara terbaik mengikut apa yang kami tahu.
“Kami sudah bersama selama 35 tahun. Kami sangat saling menyayangi. Tidak ada masalah dadah atau alkohol. Tidak ada masalah perniagaan.
“Saya dan anak kami sangat sedih dengan kehilangannya,” katanya. – AFP, 7 Jun, 2018.
Komen