Pemuda Umno rayu Ku Li tanding jawatan presiden


Mohd Farhan Darwis

PEMUDA Umno berharap veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan presiden parti Melayu itu dalam pemilihan hujung bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2018.

PEMUDA Umno berharap veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan presiden parti Melayu itu dalam pemilihan hujung bulan ini.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata penyertaan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li akan dapat memperlihatkan pembaharuan dan perubahan yang diperlukan Umno ketika ini.

“Kami juga ingin lihat satu perubahan dalam pucuk pimpinan parti atasan, kami ingin meminta jika ada calon yang ingin bertanding sebagai presiden parti, kami alu-alukan.

“Buat masa ni kita melihat Ku Li merupakan tokoh yang boleh diketengahkan untuk mengepalai parti kita.

“Saya merayu kepada Ku Li untuk mempertimbangkan bertanding sebagai presiden parti,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis pengenalan calon barisan exco dan kepimpinan Pemuda Umno di ibu negara malam tadi.

Beliau berkata rayuan itu dibuat bukan untuk menolak Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan calon tunggal setakat ini untuk jawatan presiden tetapi demi kelangsungan Umno.

“Kita bukan menolak Zahid sebagai presiden tetapi kita ucapkan terima kasih pada Zahid, dan siapa saja yang terpilih pada pemilihan kali ni, kita akan menyokong sepenuhnya,” kata Razlan.

Seramai 31 calon disahkan akan bertanding merebut jawatan exco Pemuda Umno dalam pemilihan bagi penggal 2018 hingga 2021 kali ini.

Bagi pertandingan naib ketua pemuda pula menyaksikan dua penyertaan, iaitu Shahril Hamdan, Bastian Onn, wakil Pemuda Umno di peringkat ahli Majlis Tertinggi (MT) pula meletakkan empat calon termasuk Razlan;  Armand Azha Abu Hanifa; Nazir Hussin Akhtar Hussin; dan Safri Ab Aziz.

Manakala bagi jawatan ketua Pemuda Umno, Razlan mengesahkan hanya tiga nama setakat ini akan bertanding iaitu Asyraf Wajdi Dusuki, Khairul Azwan Harun dan Shahar Abdullah.

“Bagi Jamal Md Yunos setakat ini saya tidak nampak lagi borang beliau, hanya setakat khabar di laman media sosial,” katanya.

Beliau turut mengharapkan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, akan dilantik menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

“Kita harapkan ada pembaharuan, harap Khairy sebagai ketua pembangkang yang dilihat mempunyai satu karisma dan ada kekuatan berhujah.

“Sampai masa Khairy kita letak sebagai ketua pembangkang, ketua pembangkang tidak semestinya duduk di kedudukan tertinggi dalam parti, boleh letak Khairy, baru gerun, tapi kalau berganding pula dengan Ku Li saya rasa Dr Mahathir (Mohamad) akan gerun dengan Ku Li, baru berdepan buku dengan ruas,” katanya. – 7 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen