Penduduk London berang, berdemonstrasi bela mangsa kebakaran


Penunjuk perasaan berkumpul di gereja Notting Hill selepas berarak dari majlis bandar raya Kensington, ketika mendesak keadilan untuk mangsa kebakaran Grenfell Tower, pada 14 Jun lalu. – Gambar AFP, 17 Jun, 2017.

PENDUDUK London berang dan mengecam Perdana Menteri Theresa May serta menyerbu ibu pejabat pihak berkuasa tempatan semalam dalam mendesak keadilan kepada mangsa kebakaran satu blok pangsapuri hingga menyebabkan 30 maut, dengan ramai lagi masih belum ditemui.

May dikritik kerana mengelak bertemu rakyat tempatan ketika beliau melawat bangunan 24 tingkat Grenfell Tower yang terbakar, pada Khamis tetapi berdepan dengan laungan “tak tau malu” dan “pengecut” ketika datang lagi keesokan harinya.

Berdozen anggota polis menahan khalayak daripada menyerbu ke arah May ketika beliau memandu keluar dari sebuah gereja di mana beliau bertemu mangsa terselamat, penduduk dan sukarelawan serta menjanjikan bantuan kepada mereka yang terjejas.

Penduduk juga berkumpul dalam keadaan marah di luar pejabat pihak berkuasa tempatan Kensington dan Chelsea yang bertanggungjawab menguruskan bangunan perumahan itu dari 1970-an, yang menjadi kediaman golongan kelas pekerja, di tengah-tengah antara kawasan mewah London.

Penunjuk perasaan itu kemudian berarak ke arah kepungan polis di menara terbakar itu, menjerit “tiada keadilan, tiada keamanan”, di mana beberapa pemuda cuba untuk meloloskan diri daripada kepungan.

Satu lagi demonstrasi diadakan di luar pejabat May di Downing Street, sementara pada petangnya, ratusan penduduk yang bersedih berkumpul berhampiran bangunan itu untuk menyalakan lilin dalam upacara vigil.

Semalam, polis berkata jumlah kematian setakat ini disahkan 30 orang tetapi mereka percaya angkat mereka yang maut akan bertambah. – AFP, 17 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen