SEBUAH kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) berlanggar dengan kapal kontena Filipina di luar pantai Jepun awal pagi ini, mengakibatkan tujuh kru dari kapal AS masih hilang, kata Pengawal Pantai Jepun, lapor agensi berita Kyodo.
Perlanggaran antara kapal pemusnah peluru berpandu USS Fitzgerald dengan ACX Crystal berlaku di barat daya Yokosuka, Jepun pada kira-kira jam 2.30 pagi, kata Tentera Laut AS, dengan pengawal pantai masih berusaha mengenal pasti kecederaan.
Tentera laut berkata Jepun turut membantu mengeluarkan seorang kelasi menggunakan helikopter, dan bergegas menghantarnya ke darat untuk mendapatkan rawatan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Twitter, ketua operasi tentera laut AS John Richardson berkata: “Kami akan pasti berkongsi lebih banyak maklumat dengan keluarga Fitzgerald.”
Video dirakamkan NHK News menunjukkan kerosakan teruk di bahagian sisi kanan Fitzgerald berhampiran menara kawalan, dan kapal itu dimasuki air.
Sementara itu, rakaman NHK menunjukkan kerosakan ringan di bahagian kiri ACX Crystal.
Fitzgerald sepanjang 154 meter itu berpangkalan di Yokosuka, selatan Yokohama dan Tokyo dan beroperasi di Lautan Pasifik dan Jepun.
ACX Crystal ialah kapal kontena komersial sepanjang 222 meter yang dikatakan dalam perjalanan ke Tokyo.
Kapal itu membawa bendera Filipina tetapi disenaraikan sebagai milik syarikat perkapalan gergasi Jepun, NYK Line. – AFP, 17 Jun, 2017.
Komen