ANGKASAWAN pertama Sepanyol Pedro Duque dinamakan sebagai menteri sains oleh kerajaan Sosialis baharu, kata sumber parti kepada AFP pada Rabu.
Jurutera aeronautik berusia 55 tahun itu merupakan rakyat Sepanyol pertama yang menjelajahi angkasa lepas pada 1999 ketika beliau mengambil bahagian dalam misi selama sembilan hari di kapal angkasa Discovery selepas menjalani latihan di Rusia dan Amerika Syarikat.
Beliau sekali lagi dihantar ke angkasa lepas untuk menyertai misi Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Sebagai menteri sains, beliau juga diberikan tanggungjawab untuk mempromosikan inovasi dan memantau universiti di Sepanyol.
Duque memperoleh ijazah dari Universiti Politeknik Madrid pada 1986 dan dipilih untuk mengambil bahagian dalam program Agensi Angkasa Eropah sebagai angkasawan masa depan enam tahun kemudian.
Sejak akhir-akhir ini, beliau mengkritik secara lantang amalan seperti homeopati dan mengecam tindakan kerajaan konservatif pimpinan Mariano Rajoy, yang digulingkan pada minggu lepas, kerana memotong bajet kajian saintifik.
“Di tengah-tengah sebuah krisis, masyarakat harus bertindak secara bijak untuk mengelak masa depan tergadai,” tulis Duque dalam satu artikel yang diterbitkan akhbar paling laris di negara itu, El Pais.
Duque bukanlah bekas angkasawan pertama yang dilantik sebagai menteri oleh mana-mana kerajaan. Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau melantik bekas angkawasan Marc Garneau sebagai menteri pengangkutan pada 2015. – AFP, 6 Jun, 2018.
Komen