Universiti awam kini bebas anjur program ilmiah, kata menteri


Selaku individu yang pernah melalui pengalaman dihalang daripada menyertai program sedemikian sebelum ini, Dr Maszlee Malik berkata keputusan Kementerian Pendidikan adalah sebagai membawa inspirasi mahasiswa yang mahu melihat universiti bebas daripada sebarang kekangan terutama dalam hal berkaitan perkongsian intelek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2018.

SEMUA Universiti Awam (UA) kini bebas menganjurkan program ilmiah seperti debat, forum dan wacana intelek sepertimana amalan di universiti terkemuka dunia yang lain, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata arahan tersebut berkuat kuasa serta merta dan semua pentadbir UA diminta menyahut seruan tersebut atas semangat menjadikan universiti sebagai medan percambahan ilmu. 

“Saya minta naib canselor dan timbalan naib anselor hal ehwal pelajar mematuhi arahan ini dan memastikan tiada lagi sebarang halangan kepada program seumpama itu selepas ini. 

“Perkara ini perlu diselaraskan oleh semua universiti, di mana pemantauan terhadap pematuhannya akan dibuat kementerian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11 (1) di Putrajaya, hari ini.

Selaku individu yang pernah melalui pengalaman dihalang daripada menyertai program sedemikian sebelum ini, Maszlee berkata keputusan kementerian itu adalah sebagai membawa inspirasi mahasiswa yang mahu melihat universiti bebas daripada sebarang kekangan terutama dalam hal berkaitan perkongsian intelek. 

Bagi mewujudkan persekitaran mesra ilmu, kementerian juga mengarahkan UA untuk tidak meletakkan palang di pintu utama bagi menghalang kemasukan kenderaan dan orang awam sepertimana amalan sebelum ini, katanya. 

Ditanya apakah akan ada tindakan jika universiti mengingkari arahan itu, beliau berkata walaupun ia bukan satu undang-undang tetapi tindakan sedemikian pastinya akan mengundang kritikan warga universiti. 

Dalam pada itu, Maszlee berkata kementerian memberi kuasa kepada guru besar dan guru-guru untuk menyelesaikan masalah berkaitan beg sekolah berat. 

“Walaupun kementerian telah menubuhkan jawatankuasa bagi menangani isu itu, pemberian kuasa kepada guru dalam menyelesaikan isu tersebut boleh dianggap sebagai hadiah kepada ibu bapa dan murid,” katanya. – Bernama, 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen