Rusia gagal cipta sebarang kemenangan menjelang Piala Dunia


Stanislav Cherchesov, bekas penjaga gol kebangsaan Rusia, menang lima, seri enam dan kalah sembilan perlawanan sejak mengambil alih pasukan tersebut pada Ogos 2016. – Gambar AFP, 6 Jun, 2018.

ADAKAH Rusia mampu bangkit daripada kemarau kemenangan atau meneruskan prestasi hambarnya itu dalam Piala Dunia tidak lama lagi, demikian persoalan yang perlu dijawab peminat bola sepak negara itu kini.

Rusia sehingga kini gagal mencipta sebarang kemenangan. Terbaru, pasukan itu terpaksa berpuas hati dengan dengan keputusan seri 1-1 menentang Turki. Skuad kendalian Stanislav Cherchesov itu gagal memperoleh kemenangan untuk tempoh lapan bulan berturut-turut.

Cherchesov, bekas penjaga gol kebangsaan Rusia, menang lima, seri enam dan kalah sembilan perlawanan sejak mengambil alih pasukan tersebut pada Ogos 2016, namun rekod terkini beliau amat mengecewakan.  

Dengan keputusan seri tersebut, beliau kini ‘dinobatkan’ sebagai pengurus skuad bola sepak Rusia pertama yang gagal mencipta sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut.

Cherchesov menegaskan yang pengalaman menjelang Piala Dunia, di mana Rusia akan bertemu Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan di Moscow pada 14 Jun, adalah lebih penting daripada keputusan perlawanan.  

“Rusia akan bermain dengan baik,” tegasnya pada sidang akhbar selepas perlawanan menentang Turki. “Anda akan lihat pasukan ‘ideal’ Rusia beraksi pada 14 Jun.”

Bagaimanapun, media Rusia dan peminat bola sepak mereka tidak berkongsi keyakinan itu

“Semuanya teruk,” lapor Sport Express di muka hadapan akhbarnya pada Rabu, sambil menambah corak pemainanan pasukan kebangsaan melemahkan semangat peminat bola sepak di negara tersebut. – AFP, 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen