Kami dua naga tapi bukit lain-lain, kata Anwar tentang Dr Mahathir


Zulkifli Sulong

Sejak mendapat pengampunan dan dibebaskan dari penjara selepas Pakatan Harapan menang PRU14, setiap gerak langkah Anwar Ibrahim, diberi perhatian dekat, khususnya oleh rakyat yang sebahagiannya masih trauma dengan krisis politik antara mereka berdua, dua dekad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2018.

ANWAR Ibrahim menegaskan beliau dan Dr Mahathir Mohamad tidak bersaing antara satu sama lain dalam politik, dan menolak pepatah Cina bahawa mereka umpama “dua naga di atas satu bukit”.

“Kami bukit lain-lain, bukan satu bukit,” kata Anwar, menepis dakwaan beliau bersaing dengan Perdana Menteri kerana akan jadi penggantinya selepas ini.

Dalam wawancara khas dengan The Malaysian Insight, Anwar berkata, antara mereka berdua sudah ada persetujuan bahawa Dr Mahathir akan mengendalikan pentadbiran negara ini dengan penuh kebebasan.

Sejak mendapat pengampunan dan dibebaskan dari penjara selepas Pakatan Harapan menang PRU14, setiap gerak langkah Anwar, diberi perhatian dekat, khususnya oleh rakyat yang sebahagiannya masih trauma dengan krisis politik antara mereka berdua, dua dekad lalu.

Dua pemimpin itu berseteru selepas Dr Mahathir, perdana menteri ketika itu, memecat timbalannya itu pada September 1998. Anwar kemudian melancarkan gerakan Reformasi dan menubuhkan parti politik, Parti Keadilan Nasional atau sekarang ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menjelang pilihan raya umum ke-14, Dr Mahathir yang sudah keluar Umno dan memimpin Bersatu, bekerjasama dengan PKR, serta DAP dan Amanah dalam Pakaan Harapan. Dua pemimpin yang berseteru itu bersatu semula dengan matlamat sama: menyingkirkan Najib Razak dan Barisan Nasional dari Putrajaya, dan menyelamatkan Malaysia.

Pakatan Harapan menumbangkan Najib dan BN pada 9 Mei lalu. Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, seperti yang dipersetujui oleh PH, sementara Anwar – yang tidak menyertai PRU14 kerana masih dalam penjara – mengatur jalan politiknya untuk jadi Perdana Menteri ke-8.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Anwar mengaku pengalaman berbaik dan bergaduh itu sangat bermakna dalam hidupnya.

“Saya akan memastikan pengalaman ini mengajar saya agar ia tidak berulang lagi di masa akan datang,” katanya, yang masuk Umno setahun selepas Dr Mahathir jadi perdana menteri mula-mula dulu pada 1981.

Menurut Anwar, sejak Dr Mahathir jadi perdana menteri sekali lagi sekarang, beliau sentiasa berhubung dengan Dr Mahathir melalui telefon dan berbincang serta menegaskan sokongan penuh beliau kepadanya.

Namun, kata Anwar, kerjanya untuk memastikan agenda reformasi berada di atas landasan yang betul akan beliau teruskan.

“Cuma kini kerja-kerja saya terkawal melalui Tun Dr Mahathir dan melalui kabinet dan juga Majlis Presiden Pakatan Harapan,” kata Anwar, yang juga Ketua Umum PH.

Namun Anwar tidak menolak ada pihak yang bimbang apabila beliau menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir nanti, mereka akan terpinggir.

“Masalah saya bukan dengan Dr Mahathir tetapi mereka yang dikaitkan dengan Dr Mahathir, yang resah kalau apabila saya ambil alih nanti, mereka terjejas.

“Ini yang saya sebut Umno 2.0, yang mana pandangan mereka dan sentimen mereka ada begitu, tetapi tidak wajar dikaitkan dengan Dr Mahathir,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Mengulas agenda reformasi kerajaan PH, Anwar menegas beliau tidak akan membiarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mengkayakan diri mereka ketika kerajaan baru ini dibentuk.

“Misalnya Ting Phek King. Saya tahu mengenai dia kerana saya yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bakun, (projek) yang memberikan masalah besar dahulu,” kata bekas timbalan perdana menteri antara tahun 1993 hingga 1998 itu.

“Kemudian (sekarang) nak buat projek RM30 bilion di Langkawi dan nak jual 30,000 rumah.

“Kalau ya pun, kita kena betulkan dahulu kewibawaan dia.

“Elemen begini yang merbahaya kerana orang kaitkan dahulunya dengan PM,”  tambah Anwar.

Perkara itu bagaimanapun sudah selesai selepas diberikan penjelasan kemudiannya oleh Perdana Menteri serta Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

“Jadi saya anggap ia telah reda semulalah,” kata Anwar merujuk kepada projek Ting di Langkawi. – 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Actually its very true. There is no need to compare both. Mahathir may have achieved what Anwar could not at the electorally roll BUT intellectually Anwar won..Mahathir came around to this view. Mahathir will do what is practically necessary, the future leaders of PH can carry it to any unfinished line BUT Mahathir will leave intellectual unfinished business that Anwar must finish - THAT on intellectual Islam and dealing with Hadi's PAS.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan

  • Ting Pek Khiing came out, then today Vincent Tan came out. One by one mamakcronies coming out.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Chin Tu Lan · Ulasan