IRAN berkata pada Selasa yang ia sedang dalam “kerja-kerja persedian” untuk memulakan semula aktiviti nuklear sekiranya perjanjian yang dipersetujui pada 2015 antara negara itu dan kuasa dunia menemui kegagalan.
Dalam situasi itu, Iran boleh “memulakan semula aktiviti nuklear tanpa had”, kata duta Iran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAE) Reza Najafi kepada pemberita di luar mesyuarat lembaga IAEA di Vienna.
Masa depan perjanjian itu - yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) - diragui keberkesanannya selepas Presiden AS Donald Trump menggumumkan bulan lalu yang AS akan menarik diri daripada perjanjian tersebut dan mengenakan semula sekatan.
Kerja-kerja persediaan yang disebutkan Najafi merujuk kepada langkah untuk meningkatkan kapasiti pengayaan uranium dengan menghasilkan emparan baru, seperti yang digariskan pada Selasa oleh Naib Presiden Ali Akhbar Salehi, yang mengetuai Organisasi Tenaga Atom Iran.
Tambah Najafi, Iran sudah memaklumkan kepada IAEA berhubung pelan untuk memulakan semula aktiviti di kemudahan penukaran uranium negara itu di Isfahan untuk menghasilkan bahan UF6 untuk emparan.
IAEA mengesahkan pada Selasa yang ia sudah “menerima sepucuk surat dari Iran bertarikh 4 Jun yang memaklumkan agensi itu berkenaan jadual tentatif untuk memulakan penghasilan UF6”.
Bagaimanapun, Najafi menegaskan yang langkah tersebut “tidak bermaksud yang Iran kini akan memulakan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan JCPOA”. – AFP, 6 Jun, 2018.
Komen