Perancis komited terhadap perjanjian nuklear Iran, kata Macron


PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron memaklumkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa perjanjian nuklear Iran harus dipelihara, atau keselamatan Tel Aviv dan rantau itu bakal berdepan risiko, lapor agensi berita China Xinhua.

“Saya mengulangi keyakinan mendalam saya kepada Perdana Menteri Israel, yang dikongsi oleh rakan-rakan Eropah kita, bahawa perjanjian 2015 itu harus dipelihara bagi mengawal aktiviti-aktiviti nuklear.

‘’Perancis tidak pernah menganggap perjanjian itu sebagai mencukupi atau benar-benar memuaskan. Perjanjian nuklear 2015 itu adalah satu langkah yang perlu dilengkapi dengan aktiviti-aktiviti lain pasca 2025,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Macron menyeru rakan-rakan kongsi dan sekutu Perancis untuk “memfokus kepada usaha-usaha (bagi mempromosi) kestabilan serantau dengan mengekalkan perjanjian nuklear yang membenarkan pemantauan ke atas aktiviti-aktiviti Iran.”

Dikenali secara rasmi sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), perjanjian itu mengurangi sekatan ke atas Iran sebagai pertukaran bagi Tehran mengehadkan program nuklearnya.

Memberi amaran berhubung risiko ketegangan yang semakin meningkat susulan pertikaian mengenai perjanjian nuklear Iran, presiden Perancis itu menggesa “semua pihak menstabilkan keadaan dan tidak menyumbang kepada peningkatan ketegangan yang boleh menyebabkan konflik.”

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menarik diri daripada perjanjian itu, yang telah dipersetujui pemimpin terdahulu, Barack Obama, dengan mendakwa bahawa ia tidak menangani program peluru berpandu balistik Iran, aktiviti-aktiviti nuklear selepas 2025, atau peranannya dalam konflik di Yaman dan Syria. – Bernama, 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen