Syria dakwa AS serang orang awam


Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas 10 orang terbunuh dalam serangan udara yang dipimpin oleh AS di wilayah Hasakah pada Selasa. – Gambar AFP, 5 Jun, 2018.

KEMENTERIAN Luar Syria pada Selasa menuduh gabungan tentera pimpinan Amerika Syarikat (AS) menyasarkan orang awam di wilayah-wilayah utara kerana tidak menyertai mereka, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi rasmi, Sana.

‘’Gabungan tentera itu telah menyasarkan beberapa bandar di wilayah-wilayah utara Hasakah dan Raqqa serta wilayah timur Deir al-Zour, sebagai hukuman kepada penduduk kerana enggan menyertai Angkatan Tentera Demokratik Syria yang disokong oleh AS (SDF),’’ menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas 10 orang terbunuh dalam serangan udara yang dipimpin oleh AS di wilayah Hasakah pada Selasa.

Menurut Sana, “pembunuhan beramai-ramai” yang dilakukan oleh gabungan tentera pimpinan AS itu adalah yang keenam di wilayah utara tersebut sejak awal bulan lepas.

Kementerian itu menuduh gabungan tentera pimpinan AS tersebut membantu kumpulan-kumpulan pejuang pemisah di Syria, merujuk kepada SDF yang diketuai oleh puak Kurdish.

Ia menambah bahawa gabungan tentera pimpinan AS itu juga cuba menyelaras antara kumpulan militan Daesh dan SDF dengan tujuan melemahkan kedaulatan Syria serta memanjangkan krisis.

Damsyik telah menuduh gabungan tentera antikeganasan pimpinan AS melemahkan kedaulatan Syria sejak memulakan operasinya di negara itu pada 2014.

Gabungan itu telah membantu SDF, sekutu Arab dan Kurd pimpinan Kurdish, dalam perjuangan mereka menentang Daesh.  

Damsyik tidak mempercayai dasar-dasar AS atau niat pejuang-pejuang terbabit. – Bernama, 6 Jun, 2018. 

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen