Imbasan dedah keratan akhbar, lukisan kedua Picasso


Lukisan 'Mother and Child by the Sea' yang dilukis oleh Pablo Picasso di Muzium Seni Pola di Hakone, barat Tokyo. – Gambar AFP, 6 Jun, 2018.

TEKNOLOGI imej inframerah berjaya mengupas lapisan-lapisan lukisan Pablo Picasso yang dipamerkan di Jepun dan mendedahkan satu halaman akhbar dari 1902 serta satu lagi komposisi di bawahnya.

Penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mengimbas “Mother and Child by the Sea” milik Muzium Seni Pola di Hakone, barat Tokyo dan menemui halaman akhbar Perancis Le Journal bertarikh 18 Januari 1902.

Walaupun mengapa kertas surat khabar itu berada dalam lapisan cat masih misteri, penemuan ini penting bagi cendekiawan Picasso kerana ia menghampiri tarikh pelukis itu berpindah dari Paris ke Barcelona,” kata National Gallery of Art yang berpengkalan di Washington.

Picasso dipercayai berpindah ke kota Sepanyol pada awal Januari 1902 dan membawa beberapa keping kanvas bersamanya. Penemuan kertas surat khabar dalam lukisan Picasso itu menunjukkan lukisan ia disiapkan selepas dia berpindah.

Imbasan juga menunjukkan imej jelas lukisan seorang wanita duduk di sebelah gelas absinthe yang mengandungi sudu di dalamnya.

Picasso kerap mengguna semula kanvas atau memasukkan lakaran sebelumnya ke dalam karya akhirnya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengapa pelukis itu menggunakan halaman akhbar Le Journal yang sering dibacanya. – AFP, 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen