Gunung berapi Guatemala meletup, angka korban cecah 72 orang


Pegawai berkata operasi mencari mayat di perkampungan yang musnah berjalan dengan perlahan disebabkan keadaan muka bumi serta lumpur panas, batu dan abu yang dimuntahkan gunung. – Gambar EPA, 6 Jun, 2018.

SATU letupan kuat semalam memaksa pemindahan besar-besaran di kawasan-kawasan yang terjejas teruk berhampiran gunung berapi Fuego di Guatemala.

Menurut pihak berkuasa, seramai 73 orang terbunuh sejak gunung berapi itu meletus pada hujung minggu lalu.

Penduduk di tujuh kawasan dipindahkan dan operasi menyelamat dihentikan.

Seorang pegawai berkata hampir 200 orang dilaporkan hilang selepas gunung meletup.

Di bandar Escuintla, penduduk tempatan bergegas ke kereta untuk menyelamatkan diri sehingga menyebabkan berlaku masalah lalu lintas yang teruk.

Pegawai berkata operasi mencari mayat di perkampungan yang musnah berjalan dengan perlahan disebabkan keadaan muka bumi serta lumpur panas, batu dan abu yang dimuntahkan gunung.

“Kami akan teruskan pencarian sehingga mangsa terakhir ditemui, walaupun kami tak tahu berapa ramai semuanya. Kami akan siasat kawasan itu sebanyak mana yang boleh,” kata ketua agensi pengurusan bencana, Sergio Cabanas.

Mangsa ke-73 ialah seorang wanita berusia 42 tahun yang meninggal dunia di hospital selepas hilang kedua-dua kaki dan sebelah tangan dalam letupan gunung berapi itu.

Angka kematian sebelum ini ialah 72 orang. Seramai 46 orang cedera dan separuh daripadanya dalam keadaan serius.

Gunung berapa setinggi 3,763m itu meletup pada Ahad, memuntahkan abu yang menjulang tinggi dan batuan berapi kecil serta lumpur yang panas mendidih.

Pihak berkuasa berkata lebih daripa 1.7 juta orang terjejas akibat bencana itu. – AFP, 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen