POLIS mengesahkan sekurang-kurangnya 30 terbunuh dan ramai lagi dikhuatiri maut dalam kebakaran blok pangsapuri di London, sementara anggota bomba meneruskan operasi mencari mayat.
“Kami tahu sekurang-kurangnya 30 maut akibat kebakaran ini. Saya percaya jumlahnya akan meningkat,” kata komander polis Stuart Cundy kepada wartawan di depan bangunan Grenfell Tower yang hangus terbakar.
Cundy berkata polis memulakan siasatan jenayah tetapi tidak ada apa-apa yang mencadangkan “kebakaran dimulakan secara sengaja”.
Beliau berkata api akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya, dua hari selepas kebakaran itu pada malam antara Selasa dan Rabu di menara 24 tingkat yang menjadi kediaman penduduk kelas pertengahan di tengah-tengah perumahan mewah Kensington dan Chelsea.
Lebih 70 penduduk belum ditemui, menurut laporan media walaupun masih belum diketahui sama ada mereka yang hilang adalah antara mayat yang ditemui setakat ini.
Polis berkata sebahagian mangsa mungkin tidak akan dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat yang rentung.
Cundy berkata salah seorang mangsa meninggal dunia di hospital. Sebanyak 24 yang terselamat dalam kebakaran itu masih dirawat, dengan 12 dalam keadaan kritikal.
Anggota bomba menggunakan dron dan anjing pengesan untuk menggeledah bangunan itu, berkata sebahagian tingkat lebih tinggi masih tidak boleh dimasuki manusia kerana bimbang struktur tidak stabil. – AFP, 16 Jun, 2017.
Komen