11 maut, 25 terperangkap dalam letupan lombong di China


Kemalangan maut di lombong adalah perkara biasa di China, di mana industrinya mempunyai rekod keselamatan yang teruk. – Gambar fail EPA, 6 Jun, 2018.

SEBUAH trak membawa bahan letupan meletup berhampiran pintu masuk sebuah lombong bijih besi di timur laut China pada Selasa, membunuh 11 orang, mencederakan sembilan yang lain dan menyebabkan 25 pekerja terperangkap di bawah tanah, media negara itu melaporkan.

Seramai 23 mangsa terperangkap di dalam lombong yang dikendalikan oleh Huamei Group - anak syarikat China National Coal Group Co di wilayah Liaoning - dapat menghubungi penyelamat, menurut stesen CCTV.

Para pekerja menggerudi sebuah laluan lombong apabila trak meletup pada jam 4 petang (0800 GMT) berhampiran pintu masuk ke lombong, stesen itu.

Kementerian Pengurusan Kecemasan dan kerajaan tempatan Benxi, di mana letupan berlaku, menyelaraskan usaha penyelamatan, kata CCTV.

Sehingga 10 malam, sistem elektrik dan pengudaraan di lombong itu berjaya dihidupkan semula, dan para penyelamat sedang membaiki sistem pengangkut bawah tanah, kata agensi berita Xinhua.

Mereka yang cedera dibawa ke hospital. Kerja penyelamat masih dijalankan.

Kemalangan maut di lombong adalah perkara biasa di China, di mana industri mempunyai rekod keselamatan yang teruk.

Kebocoran gas membunuh sekurang-kurangnya 18 orang pekerja lombong arang batu di wilayah tengah Hunan pada Mei tahun lepas.

Pada Disember 2016, letupan berasingan di dua lombong arang batu di wilayah Mongolia dan di Heilongjiang membunuh sekurang-kurangnya 59 orang.

Pada awal tahun itu, 33 pelombong terbunuh dalam letupan arang batu pada Oktober di barat daya Chongqing, dan pada September sekurang-kurangnya 18 terbunuh dalam letupan lombong di wilayah barat laut Ningxia.

Dalam kejadian lain yang menjadi perhatian, empat pelombong diselamatkan pada Januari 2016 selepas mereka terperangkap 36 hari dalam lombong gipsum yang runtuh di wilayah timur Shandong.

Kejadian itu dibandingkan dengan kemalangan lombong pada 2010 di Chile, yang menyaksikan 33 pelombong terperangkap di bawah tanah selama 69 hari sebelum diselamatkan. – AFP, 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen