Mahkamah Perancis tolak siasatan rogol ke-3 terhadap Tariq Ramadan


Cendekiawan Islam terkemuka, Tariq Ramadan yang ditahan di Perancis atas tuduhan rogol dimasukkan ke hospital akibat sklerosis berbilang. – Gambar AFP, 6 Jun, 2018.

HAKIM Perancis menolak dakwaan rogol ketiga terhadap sarjana Islam Tariq Ramadan yang kini ditahan atas dua dakwaan rogol lain, kata peguamnya pada Selasa.

Beliau yang berusia 55 tahun itu berkata mempunyai hubungan persetujuan bersama dengan Mounia Rabbouj, seorang wanita Islam Perancis, yang menuduh beliau merogolnya sembilan kali antara 2013 dan 2014, kata peguam Emmanuel Marsigny selepas pendengaran mahkamah di Paris.

“Majistret mempertimbangkan, berikutan penjelasan daripada Ramadan dan beberapa dokumen yang dapat diberikannya, tiada keperluan untuk menyiasat Ramadan berhubung wanita ketiga,” katanya.

“Beliau menerangkan panjang lebar kepada para majistret ... terdapat permainan seksual, ada hubungan seksual juga, tetapi ia adalah persetujuan bersama.”

Penceramah TV terkemuka dan profesor Universiti Oxford, cucu kepada pengasas pergerakan Ikhwan Muslimin Mesir itu ditahan sejak Februari atas tuduhan merogol dua wanita di Perancis.

Wanita ketiga dan keempat kemudian muncul membuat aduan.

Marsigny berkata berita terbaru menandakan “titik perubahan” dalam kes itu dan anak guamnya, yang ditolak ikat jamin bulan lepas, berhasrat membuat permohonan selanjutnya untuk dibebaskan.

Ramai penyokong Ramadan - termasuk dua juta pengikut Facebook - menegaskan Ramadan menjadi sasaran secara tidak adil kerana beliau seorang Islam, sementara peguamnya membantah apa yang dikatakannya sebagai “pembohongan” dan ketidakkonsistenan oleh mereka yang membuat tuduhan kepada Ramadan.

Pendakwa pertama Ramadan, Henda Ayari, 41, adalah aktivis feminis yang sebelum ini mengamalkan Islam yang konservatif. Beliau mengatakan Ramadan merogolnya di bilik hotel Paris pada 2012.

Wanita kedua, yang cacat, mendakwa Ramadan merogol dan memukulnya di sebuah hotel di bandar raya tenggara Perancis pada 2009.

Rabbouj, pendakwa ketiga, memfailkan aduannya pada Mac.

Wanita keempat pula memfailkan tuduhan rogol di Geneva terhadap Ramadan.

Hakim bulan lepas menolak jaminan bagi Ramadan, seorang warga Switzerland, yang sedang dirawat di dalam tahanan kerana sklerosis berbilang.

Beliau menafikan salah laku dan bertindak menyaman seorang daripada penuduhnya, Ayari, atas tuduhan fitnah. – AFP, 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen