Peguam negara – janji dan realiti


PELANTIKAN Tommy Thomas sebagai peguam negara yang baru menimbulkan sekali lagi minat umum pada manifesto pilihan raya pakatan yang memerintah. Dalam manifesto itu, Pakatan Harapan menyatakan dengan jelas dalam Janji 15 perihal pentingnya memisahkan Pejabat Pendakwaraya Negara daripada Pejabat Peguam Negara.

Khuatir akan berlaku konflik kepentingan, ia menghujahkan bahawa dua peranan itu dipisahkan. Ia berikrar akan mengambil langkah segera melaksanakannya.

Peguam negara akan dipilih dalam kalangan ahli Parlimen yang layak dan beliau akan dilantik sebagai menteri yang akan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan. Pendakwaraya Negara sebaliknya akan ada autonomi dan menjalankan pendakwaan tanpa gentar atau memihak.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak memenuhi janjinya. Thomas bukan seorang ahli Parlimen. Beliau tidak bertanggungjawab dari segi perundangan kepada rakyat melalui Parlimen yang dipilih. Seperti penjawat awam lain, sudah tentu beliau dituntut menjunjung Perlembagaan Persekutuan. Walaupun pelantikan rasminya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, penyambung kuasanya yang sebenar terletak pada perdana menteri. Perdana menterilah yang berkuasa ke atasnya dan mengarahkan tindakannya.

Kita sudah saksikan sejak kebelakangan ini apa boleh jadi dengan hubungan antara peguam negara dan perdana menteri itu. Bekas peguam negara melindungi bekas perdana menteri Najib Razak walaupun apa yang beliau lakukan itu sangat ketara. Peguam negara melihat dirinya berkhidmat melindungi kepentingan Najib.

Antara alasan kenapa salah guna kuasa terang-terangan seperti itu tidak berlaku pada dekad 1960-an dan 1970-an, peguam negara pada masa itu bertanggungjawab kepada Parlimen melalui Kabinet. Amalan ini dihentikan pada awal 1980-an apabila Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri keempat. Kebertanggjungjawaban kepada Parlimen diganti dengan hubungan langsung antara peguam negara dan perdana menteri.

Dr Mahathir berpandangan Thomas ada kemahiran untuk mengendalikan kes 1MDB di mahkamah. Jika ada kemahiran tertentu yang diperlukan, kerajaan boleh mengambil khidmat pakar undang-undang tempatan dan luar negara. Mereka bolah dilantik sebagai perunding atau pendakwa raya seperti yang pernah dilakukan dalam kes Batu Putih atau dalam perbicaraan kedua Anwar Ibrahim. Thomas sendiri boleh memainkan peranan itu, berbanding dilantik sebagai peguam negara.

Kedudukan peguam negara, saya ulangi, seharusnya diangkat daripada ahli Parlimen yang juga menteri Kabinet demi kepentingan akauntabiliti awam. Saya berharap memandang sekurang-kurangnya 10 jawatan Kabinet masih belum dipenuhi dan belum ada lantikan dari Sabah atau Sarawak, seorang ahli Parlimen dari salah sebuah negeri itu boleh dilantik sebagai peguam negara.

Memandangkan ia jawatan kanan, ia akan meningkatkan kedudukan wakil rakyat dari sana. Ia juga menjadikan warga Sabah dan Sarawak benar-benar merasakan mereka mustahak di mata Persekutuan Malaysia.

Ada seorang ahli Parlimen dari Sarawak yang mempunyai latar belakang undang-undang yang sesuai. Baru Bian, wakil rakyat Selangau dari Pakatan Harapan seorang peguam bela dan peguam cara yang berpengalaman, yang selama bertahun-tahun berjuang untuk hak tanah pribumi. Tiada alasan kenapa wakil rakyat sepertinya – seorang Kristian Bumiputera – tidak harus diangkat jadi peguam negara dalam Kabinet Persekutuan.

Thomas, apa pun kekuatannya, akan terus terbeban dengan kebimbangan yang sudah disuarakan melalui media alternatif. Apa rekodnya dalam mendakwa kes jenayah tumpuan umum? Bagaimana fasihnya beliau dalam bahasa kebangsaan yang juga bahasa utama pentadbiran keadilan di negara kita?

Kenapa beliau meninggalkan tanah air ini ketika serbuan ISA pada 1987 dan krisis kehakiman 1988 apabila sesetengah daripada kami masuk penjara dan bersusah payah berkempen demi keadilan bagi hakim-hakim yang dipecat? – 5 Jun, 2018.

*Dr. Chandra Muzaffar adalah pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen