Salah untuk desak Evangelikalisme diharamkan, kata peguam perlembagaan


Low Han Shaun

Acara Borneo Revival Healing Rally di Sandakan, program Kristian Evangelikalisme diadakan tanpa halangan kelmarin walaupun acara serupa di Melaka dan Sarawak yang dirancang sebelum ini, dibatalkan. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Jun, 2017.

SETIAP rakyat Malaysia ada hak untuk mengamalkan agama masing-masing mengikut perlembagaan dan hak itu tidak boleh disekat atau dinafikan oleh negeri, kata peguam perlembagaan berhubung gesaan supaya mengharamkan Evangelikalisme di Malaysia.

Peguam Syahredzan Johan berkata untuk mengharamkan Evangelikalisme di sini bermakna melanggar perlembagaan terutama jika gereja melakukan upacara keagamaan secara tertutup tanpa menyebarkan kepada Muslim.

“Pengharaman Kristian Evangelical tidak mengikut perlembagaan. Kita bercakap mengenai agama Kristian, dan Artikel 11(1) jelas menyatakan semua orang ada hak mengamalkan agama masing-masing.

“Hak itu tidak boleh disekat atau dinafikan. Jadi tidak ada asas untuk kerajaan mengharamkannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pusat Penyelidikan dan Sokongan Hak Asasi Manusia (Centhra), satu gabungan kumpulan Islamik berkata pengharaman itu selaras dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, dalam memelihara keamanan dalam kalangan agama.

Bagaimanapun, Syahredzan berkata satu-satunya sekatan yang boleh dikenakan ialah berhubung penyebarannya kepada umat Islam, di mana undang-undang untuk kesalahan itu sudah pun ada.

“Tetapi jika gereja Evangelikalisme mengadakan upacara agama secara tertutup dan tanpa penyebaran, maka tidak ada asas untuk kerajaan mengharamkannya,” katanya.

“Artikel 11 menjamin kebebasan beragama. NGO itu salah kerana bergantung pada Artikel 11. Artikel 11 tidak menyokong apa yang mereka kata.

“Itu bukan memetik di luar konteks. Itu mengabaikan perkataan jelas dalam Artikel berkenaan.

 Kamarul Yusoff, pensyarah Universiti Utara Malaysia yang mendakwa Speaker Selangor Hannah Yeoh berdakwah kepada umat Islam, turut menggunakan Seksyen 4(1) Enakmen Kawalan dan Hukuman (penyebaran agama bukan Islam) Selangor 1988 dan Seksyen 298 (A) (1) Kanun Keseksaan yang menyentuh isu sama berkenaan memelihara keamanan dalam kalangan agama.

Mengulas perkara itu, Syahredzan berkata Seksyen 298A diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan oleh mahkamah tertinggi.

“Seksyen 298A tidak boleh diguna pakai untuk keseluruhan gerakan agama Kristian Evangelical di negara ini. Jika ada, ia hanya untuk individu yang melakukan kesalahan itu, bukan keseluruhan gereja,” katanya. – 16 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen