SERANGAN udara di timur laut Syria yang diduduki kumpulan IS menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang awam terbunuh, kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria pada Selasa.
Kumpulan pemerhati berpangkalan di Britain itu berkata, serangan dijalankan pada awal pagi Isni di selatan wilayah Hasakeh oleh pakatan tentera yang diketuai Amerika Syarikat yang menentang kumpulan IS sejak 2014.
Bagaimanapun masih belum ada pengesahan daripada pakatan terbabit berhubung serangan itu, yang merupakan terbaharu dalam siri serangan membabitkan orang awam.
“Serangan itu menyebabkan 11 orang terbunuh termasuk lima kanak-kanak,” kata ketua kumpulan pemerhati Rami Abdel Rahman kepada AFP.
“Mayat mangsa hanya dapat dikeluarkan pada Selasa berikutan serangan bom yang berterusan.”
Katanya, kawasan yang disasarkan berdekatan perkampungan Jizaa, yang msuh dikuasai oleh IS di timur Lembah Euphrate.
Kurdish yang disokong pakatan tentera AS turut menjalankan serangan darat di kawasan itu.
Pemerhati yang bergantung kepada rangkaian sumber dalaman Syria berkata, ia menentukan pesawat pihak mana yang menjalankan serangan berdasarkan jenis, lokasi, corak penerbangan dan peluru yang digunakan. – AFP, 5 Jun, 2018.
Komen